ANGGOTA PPM merampas tong biru berisi petrol dan minyak masak peket bersubsidi dalam Op Terancang di Kudat. FOTO Ihsan PPM
ANGGOTA PPM merampas tong biru berisi petrol dan minyak masak peket bersubsidi dalam Op Terancang di Kudat. FOTO Ihsan PPM
Juwan Riduan


Kudat: Pasukan Polis Marin (PPM) Kudat menggagalkan cubaan menyeludup keluar petrol dan minyak masak peket bersubsidi menerusi Op Terancang, semalam.

Dalam kejadian 12.10 tengah malam itu, Unit Risikan Marin Kudat yang menjalankan tugas operasi mengesan sebuah bot pam dalam keadaan mencurigakan di kawasan laut Tanjung Pegasan, Pitas.

Bagaimanapun, dua lelaki di atas bot berkenaan bertindak terjun ke laut dan melarikan diri ke kawasan hutan paya bakau berhampiran.

Hasil pemeriksaan ke atas bot pam itu menemui 200 liter petrol dan 15 kotak minyak masak peket bersubsidi dipercayai cuba diseludup negara jiran.

Turut dirampas bot pam berserta enjin dan nilai keseluruhan rampasan berjumlah hampir RM60,000 dan sudah dibawa ke Pangkalan Kudat untuk tindak lanjut.

Komander PPM Wilayah Empat Sabah, Asisten Komisioner Ahmad Ariffin ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 January 2023 @ 7:36 PM