MARYAM menunjukkan sijil pengiktirafan antarabangsa yang diterimanya. FOTO ihsan Profesor Madya Ts Dr Muzamir Hasan
MARYAM menunjukkan sijil pengiktirafan antarabangsa yang diterimanya. FOTO ihsan Profesor Madya Ts Dr Muzamir Hasan
Sudirman Mohd Tahir


Kuala Lumpur: Murid tahun enam Sekolah Kebangsaan (P) Methodist Kuantan, Maryam Muzamir mencatat kejayaan luar biasa apabila menerima pengiktirafan antarabangsa dengan merangkul dua pingat emas dalam The 22nd Annual British Invention Show Awards 2022.

Maryam memenangi anugerah Double Gold Award dan Chairmans Special Recognition Award – Young Ambassador of Innovation dalam pertandingan reka cipta, inovasi dan teknologi paling berprestij serta paling lama di United Kingdom.

Malah, pada 2021, Maryam yang juga anak sulung daripada dua beradik meraih tiga pingat emas dalam Pertandingan Ciptaan, Inovasi Antarabangsa Keenam di Toronto, Kanada.

Kejayaan Maryam tidak terhenti setakat itu apabila inovasi ciptaannya iaitu produk diberi nama YAM 2.0: Sustainable Livestock Feed hasil inovasi makanan haiwan dihasilkan daripada kulit udang dan siput sedut itu menarik minat beberapa syarikat antarabangsa dari China, Singapura dan Indonesia untuk membeli seterusnya dikomersialkan.

Menurutnya, dia bangga dan gembira produk itu mendapat sokongan ramai pihak bukan saja dalam negara, tapi juga di peringkat antarabangsa.

"Alhamdulillah, saya gembira apabila inovasi ciptaan saya dipandang oleh orang luar dan bukan dalam negara saja. Lebih membanggakan apabila syarikat antarabangsa dari pelbagai negara mengiktiraf produk ini.

"Sudah semestinya ia satu lagi pencapaian yang cukup manis buat saya kerana hasil ciptaan ini dikenali," katanya kepada Harian Metro.

Ditanya mengenai ciptaan baru dan pertandingan yang bakal disertai tahun ini, Maryam mengintai peluang untuk turut serta pada acara di Eropah atau Amerika Syarikat.

"InsyaAllah, ciptaan dan produk baru akan ada. Cuma, masih belum buat sebab nak kembangkan idea. Mungkin selepas peperiksaan akhir baru saya nak memberi fokus.

"Kalau ada pertandingan sesuai di Eropah dan Amerika Syarikat saya nak cuba sertai. Dalam masa sama, saya berbesar hati jika ada mana-mana pihak atau kerajaan sudi menaja, sebab kos ke sana agak tinggi," katanya.

Mengulas mengenai laporan berita yang disampaikan hos James Corden dalam programnya dan tular semula di TikTok, Maryam akui terharu.

"Saya terkejut dan baru tahu. Apapun, saya gembira sebab selepas enam bulan, orang masih ingat dan kembali memperkatakan. Kawan-kawan di sekolah juga tumpang bangga dan mereka sentiasa memberikan sokongan," katanya.

Sementara itu, bapanya, Profesor Madya Ts Dr Muzamir Hasan, 40, berkata, inovasi Yam 2.0 sudah dipaten yang mana ditaja sepenuhnya oleh Kementerian Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) tahun lalu.

"Sejak menang dari 2021 dan tahun lalu, pihak kementerian dan agensi kerajaan banyak bagi perhatian. Saya nak berterima kasih kepada Menteri KPDHEP yang lalu, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi kerana memberi tajaan penuh dari segi harta intelek yang mana inovasi ciptaan Maryam ini sudah mendapat hak cipta terpelihara atau asas paten (Perbaharuan utiliti).

"Sebenarnya, ada banyak industri penternakan haiwan tanya mengenai produk ini. Bukan saja dalam negara, tapi juga dari China, Singapura dan Indonesia, cuma buat masa sekarang kami belum bercadang untuk mengkomersialkan kerana memerlukan kos tinggi termasuk operasi kilang, pembuatan dan penghasilan.

"InsyaAllah, kalau Maryam sudah habis belajar dan ingin meneruskan kerjaya sebagai ahli perniagaan dia boleh kembangkan inovasi ini. Buat masa sekarang kalau boleh saya memang nak dia fokus pada akademik kerana dia pun bercita-cita nak menjadi pensyarah seperti saya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 January 2023 @ 12:11 PM