LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.
LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.
BERNAMA

Kuantan: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Pahang memulakan operasi bagi menangkap gajah liar dipercayai menyebabkan kematian seorang remaja Orang Asli di Kampung Tual, Pos Sinderut di Kuala Lipis, semalam.

Pengarahnya Rozidan Md Yasin berkata 11 kakitangan terbabit dalam operasi menangkap hari ini dibahagikan kepada dua pasukan manakala lima lagi petugas ditubuhkan bagi tujuan kawalan keselamatan.

"Penjejakan akan dibuat setiap hari berdasarkan kesan terbaru yang ditemukan kumpulan peninjau dan maklumat daripada penduduk.

"Jarak penjejakan dianggarkan antara 10 hingga 20 kilometer setiap hari, bergantung kepada jejak yang ditinggalkan haiwan berkenaan," katanya semasa dihubungi di sini hari ini.

Rozidan berkata, setakat ini, operasi itu dijadual diadakan selama 10 hari.

Semalam, polis mengesahkan kematian Andy Yok Manin, 15, dipercayai akibat serangan gajah semasa berada di kebun durian di kampung itu.

Pihak berkuasa dimaklumkan mengenai kejadian itu pada 4.30 petang semalam, oleh batin kampung selepas keluarga mangsa yang turut berada di kebun berkenaan membawa mayatnya pulang ke rumah yang terletak kira-kira 30 kilometer dari kebun.

Gajah itu dipercayai menghala ke kebun itu selepas dihalau penduduk Kampung Regang di pos sama, selepas membuat kacau di situ.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 January 2023 @ 2:52 PM