KAPAL membawa kelapa kering mengandungi serangga perosak di Jeti Batu Pahat Johor. FOTO Ihsan Maqis.
KAPAL membawa kelapa kering mengandungi serangga perosak di Jeti Batu Pahat Johor. FOTO Ihsan Maqis.
Mohamad Fahd Rahmat


Batu Pahat: Sebuah kapal diarahkan berpatah balik semula ke Indonesia selepas pihak berkuasa menemui serangga perosak pada muatan kelapa kering (kopra) yang dibawa.

Pengarah Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Johor, Edie Putra Md Yusof berkata, pemeriksaan yang dijalankan pihaknya menemui serangga perosak disyaki 'Red Legged Ham Beetle' pada dagangan kopra berkenaan.

"Maqis Johor menahan sebuah kapal dagangan yang membawa masuk 160 tan kopra itu pada Khamis lalu kira-kira 12 tengahari di Jeti Batu Pahat, di sini.

"Berikutan itu, dagangan sebanyak 160,000 kilogram dengan anggaran nilai RM272,000 itu tidak dibenarkan masuk ke negara bagi mengelakkan penyebaran perosak yang boleh menjejaskan industri kelapa negara.

"Kapal itu dinafikan kemasukannya dan perlu ke negara asal iaitu Indonesia semalam," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, perbuatan mengimport apa-apa jenis keluaran pertanian yang berperosak adalah menjadi suatu kesalahan di bawah Seksyen 14 Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728] yang boleh dihukum di bawah Seksyen 14 Akta yang sama.

"Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya.

"Bagi kesalahan kedua atau yang berikutnya didenda tidak melebihi RM150,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tujuh tahun atau kedua duanya," katanya.

Beliau berkata, Maqis sentiasa komited menjalankan penguatkuasaan di pintu masuk ini bagi menyekat kehadiran perosak, penyakit atau bahan cemar yang boleh menyebabkan kemerebakan, penularan serta merbahaya terhadap industri pertanian negara.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 January 2023 @ 7:01 PM