ANGGOTA bomba membuat pemeriksaan bagi memastikan tiada lagi mangsa terperangkap. FOTO ihsan Bomba
ANGGOTA bomba membuat pemeriksaan bagi memastikan tiada lagi mangsa terperangkap. FOTO ihsan Bomba
Amirul Aiman Hamsuddin

Sabak Bernam: Lelaki lemas dalam parit selepas terbabit kemalangan dua kenderaan di jalan besar Sabak Bernam menghala ke Sungai Besar berhampiran Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sabak Bernam, di sini, hari ini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Datuk Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 4.01 petang.

Beliau berkata, enam anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sabak Bernam dikejarkan ke lokasi.

"Menurut laporan awal, kemalangan melibatkan Proton Preve dipandu mangsa berusia 30-an dan Proton Saga dinaiki suami isteri juga berusia 30-an," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Norazam berkata, kemalangan itu juga mengakibatkan Proton Preve terbalik.

Menurutnya, semua mangsa dikeluarkan orang awam sebelum pihak bomba tiba di lokasi kejadian.

"Pemandu Proton Preve disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan dan dipercayai lemas selepas terperangkap di dalam kenderaannya.

"Manakala pasangan suami isteri pula tidak mengalami kecederaan. Mereka dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) Sabak Bernam dengan menaiki ambulans," katanya.

Norazam berkata, mayat pemandu Proton Preve diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 January 2023 @ 6:06 PM