Hazira Ahmad Zaidi

Kota Bharu: Kerajaan negeri mencadangkan kawalan terhadap kemasukan pelancong ke negara ini terutama dari China diperketatkan susulan peningkatan kembali kes jangkitan Covid-19 di negara terbabit.

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, kes Covid-19 semakin meningkat dan isu berkenaan perlu diberi perhatian agar tidak mengulangi kesilapan lalu apabila membiarkan kemasukan pelancong dari China tanpa kawalan.

Katanya, justeru kerajaan terutamanya Menteri Kesihatan diminta supaya memberi perhatian mengenai perkara ini.

"Jika perlu kita mungkin boleh sekat atau kenakan syarat yang ketat. Sebagai contohnya, jika pelancong dari luar negara yang hendak masuk ke Malaysia perlu mempunyai sijii vaksiniasi atau membuktikan diri mereka sihat dan bukan hanya mengimbas suhu badan sahaja.

"Sudah ada beberapa negara yang membuat keputusan untuk mengawal kemasukan pelancong dari China bagi membendung penularan jangkitan Covid-19," katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Amanat Tahun Baharu 2023 di Kompleks Kota Darul Naim, di sini, hari ini yang turut dihadiri Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob.

Mohd Amar berkata, dalam situasi sekarang, isu kesihatan rakyat dan keselamatan negara adalah lebih penting jika hendak dibandingkan dengan sumber pendapatan daripada sektor pelancongan.

"Kita sendiri melihat bagaimana kesan daripada pandemik Covid-19 dalam tempoh dua tahun, ekonomi negara terjejas disebabkan terlalu menjaga sektor pelancongan.

"Bagaimanapun, kerajaan negeri tidak boleh mendahului keputusan Kerajaan Persekutuan dalam melaksanakan tindakan tertentu untuk membendung penularan Covid-19," katanya.

Dalam pada itu, mengulas mengenai projek pembangunan di bawah kerajaan Persekutuan yang tergendala di negeri ini, Mohd Amar tidak menafikan perkara terbabit berlaku disebabkan oleh beberapa faktor termasuk masalah kontraktor.

"Kita sudah meminta Kerajaan Persekutuan memberi perhatian supaya semua projek yang tergendala ini disiapkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 January 2023 @ 1:14 PM