Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli.
Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli.
Aizat Sharif


Kangar: Kerajaan Perlis akan meneliti dari sudut perundangan terlebih dahuku sebelum mengambil sebarang langkah untuk menutup premis perjudian dan loteri di negeri itu.

Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli berkata, setakat ini, pihaknya belum lagi membincangkan sebarang langkah ke arah tindakan itu.

"Namun, Insya Allah kita akan tengok dari segi perundangan terlebih dahulu termasuk juga tempoh lesen premis perjudian ini sebelum sebarang tindakan susulan dilakukan.

"Apa pun di Perlis ini, kita tak punya banyak premis perjudian kerana saya difahamkan hanya terdapat sekitar tiga sahaja premis perjudian di kawasan Kangar dan Kuala Perlis," katanya ketika dihubungi hari ini.

Bermula semalam, semua operasi premis perjudian dan loteri di Kedah ditamatkan sepenuhnya selepas keputusan kerajaan negeri tidak lagi memperbaharui lesen perjudian.

Ini berikutan pengumuman Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang mengarahkan pihak berkuasa tempatan (PBT) memantau dan memastikan semua premis berkaitan mematuhi arahan yang diputuskan pada November 2021 itu.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, tiada sebarang premis atau kedai menjual minuman beralkohol dibenarkan beroperasi di negeri itu.

"Jika kita lihat, setakat ini tiada kedai menjual minuman arak beroperasi di negeri ini kecuali kedai ubat-ubatan tradisional yang didapati ada menjual bahan alkohol untuk perubatan.

"Malah, kedai serbaneka 24 jam di negeri ini juga tidak dibenarkan menjual minuman beralkohol.

"Selain itu, kita memang memantau operasi kedai makanan yang menjual alkohol kepada orang ramai secara terbuka kerana kita tidak mahu perbuatan mereka yang meminum arak ini mengganggu ketenteraman dan keselamatan orang lain lebih-lebih lagi apabila mereka memandu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 January 2023 @ 3:01 PM