Ahmad Hasbi


Nilai: Lena lelaki diulit kekasih terganggu apabila pintu bilik hotel diinap mereka diketuk Penguatkuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) dalam pemeriksaan, 1.30 pagi hari ini.

Pihak berkuasa mengetuk pintu selama lima minit sebelum dibuka lelaki yang tidak berbaju.

Sejurus penguatkuasa memperkenalkan diri kepada lelaki berusia 32 tahun itu, dia dengan selamba menjawab menginap bersama kekasih yang juga janda yang dalam keadaan lengkap berpakaian.

Lebih mengejutkan, pemeriksaan lanjut di dalam bilik menemui sebotol minuman keras yang sudah diminum dan pasangan itu dipercayai berada di bawah pengaruh alkohol.

Pasangan itu mengaku berasal dari Nilai dan mendaftar masuk ke hotel berkenaan kira-kira 9 malam selepas berjumpa di satu lokasi.

Ketua Unit Operasi Bahagian Penguatkuasaan JHEAINS, Ahmad Zaki Hamzah berkata, operasi dengan 15 pegawai dan anggota itu dijalankan sempena sambutan ambang tahun baru.

"Kami menjalankan pemeriksaan di sebuah hotel yang didapati sering dijadikan tempat menginap pasangan bukan muhrim di daerah ini. Kira-kira enam bilik diperiksa membabitkan pelanggan beragama Islam.

"Pemeriksaan di sebuah bilik mendapati seorang wanita dan seorang lelaki berada di dalamnya. Selepas disoal siasat, mereka mengaku tidak mempunyai sebarang hubungan sah dan tiada bukti sudah berkahwin," katanya ketika ditemui di lokasi itu.

Ahmad Zaki berkata, pasangan berkenaan kemudiannya dibawa ke Pejabat Penguatkuasa JHEAINS Daerah Nilai untuk diambil tindakan lanjut.

"Berdasarkan soal siasat awal, wanita berusia 30 tahun berkenaan mengaku berstatus janda, makanala pasangannya masih bujang dan bekerja sebagai pemotong rumput.

"Mereka didapati melakukan kesalahan mengikut Seksyen 61 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan 1992 kerana cubaan melakukan persetubuhan haram," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 January 2023 @ 1:52 PM
BAHAGIAN Penguatkuasa JHEAINS membuat serbuan dalam operasi ambang sambutan tahun baru. FOTO Azrul Edham
BAHAGIAN Penguatkuasa JHEAINS membuat serbuan dalam operasi ambang sambutan tahun baru. FOTO Azrul Edham