Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Seorang lelaki ternyata tidak serik meskipun sudah berulang kali disaman pihak berkuasa atas pelbagai kesalahan dengan kesalahan terbaharu mengubah suai ekzos menyebabkan motosikalnya disita.

Lelaki berusia 20-an berkenaan memaklumkan dia pernah disaman pihak berkuasa beberapa kali sebelum ini termasuk bagi kesalahan tiada lesen.

Katanya, dia baru sahaja menukar ekzos motosikal Yamaha Y15 miliknya itu, kira-kira sebulan lalu, pada harga RM200, kerana terdorong melihat rakannya yang mengubah suai ekzos motosikal masing-masing.

"Saya tahu perbuatan itu (mengubah suai ekzos) salah tetapi saya buat juga kerana saya mahu ikut trend rakan yang berbuat demikian.

"Malah, saya juga mengubah suai nombor pendaftaran kenderaan atas tujuan sama (ikut rakan)," katanya yang bekerja sebagai pelayan restoran.

Dia antara pemilik motosikal yang disita dalam Operasi Khas Malam Ambang Tahun Baharu 2023 di Jalan Loke Yew menghala ke pusat bandar, di sini, awal pagi tadi.

Dalam operasi itu, dia menerima empat saman atas kesalahan kerana tiada lesen memandu, ubah suai nombor pendapatan kenderaan depan dan belakang, serta ubah suai ekzos.

Anggota Polis Trafik Kuala Lumpur menahan penunggang motorsikal dan kenderaan pada Ops Khas Malam Ampang Tahun Baru 2023 di Jalan Loke Yew, Kuala Lumpur. FOTO AZHAR RAMLI
Anggota Polis Trafik Kuala Lumpur menahan penunggang motorsikal dan kenderaan pada Ops Khas Malam Ampang Tahun Baru 2023 di Jalan Loke Yew, Kuala Lumpur. FOTO AZHAR RAMLI

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Yahaya Othman berkata, pihaknya melakukan pemeriksaan terhadap 841 kenderaan pelbagai jenis di 26 lokasi sekatan jalan raya di sekitar ibu kota.

"Daripada jumlah itu, 372 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan termasuk tiada lesen memandu, ubah suai kenderaan dan lain-lain.

"Kami turut menahan 12 individu berusia antara 15 hingga 21 tahun yang 'merempit' dan empat individu berusia antara 23 hingga 50 tahun atas kesalahan mabuk.

"Selain itu, kami juga menyita 10 motosikal dalam operasi berkenaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 January 2023 @ 8:56 AM