Omar Ahmad


Kulai : Hendak bertemu dengan tunang ketika cuti, menjadi antara alasan 15 pasangan yang ditangkap bahagian penguat kuasa Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) dalam Ops Ambang Tahun Baharu di sini, malam tadi.

Pengarahnya, Datuk Md Rofiki Shamsudin berkata, sembilan pasangan yang ditahan adalah warga tempatan, manakala enam pasangan lagi terdiri daripada warga asing seperti Nepal dan Indonesia.

Katanya, serbuan bermula 10.30 malam dan berakhir kira-kira 1 pagi tadi dibuat di 10 lokasi membabitkan hotel bajet.

"Tujuan operasi ambang tahun baharu ini diadakan adalah untuk membanteras perbuatan maksiat serta aktiviti yang tidak bermoral.

"Kebiasaannya mereka yang melakukan jenayah zina ini, akan memilih untuk melakukan kegiatan itu pada tarikh berkenaan bersempena perayaan ataupun cuti am. Alasan yang diberikan antaranya ialah untuk mengambil peluang cuti untuk bertemu tunang.

"Hasilnya bahagian penguat kuasa, JAINJ berjaya menahan seramai 15 pasangan, terdiri daripada 15 lelaki dan 15 wanita yang berumur antara 22 tahun hingga 38 tahun. Kesemuanya terdiri daripada 18 orang warganegara malaysia dan 12 orang bukan warganegara.

"Kesemua mereka disyaki melakukan kesalahan khalwat di bawah seksyen 27 (1) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Johor) 1997 dan sekiranya disabitkan kesalahan, boleh di denda tidak melebihi RM3,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya", katanya.

Beliau berkata demikian selepas selesai Operasi Ambang Tahun Baru 2023 di sekitar Kulai, di sini, malam tadi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 January 2023 @ 8:50 AM
Antara pasangan yang ditahan oleh Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Agama Islam NegeriJohor dalam  'Ops Ambang Tahun Baru' sempena Tahun Baru 2023 di hotel sekitar daerah Senai dan Kulai, Johor. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
Antara pasangan yang ditahan oleh Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Agama Islam NegeriJohor dalam 'Ops Ambang Tahun Baru' sempena Tahun Baru 2023 di hotel sekitar daerah Senai dan Kulai, Johor. FOTO NUR AISYAH MAZALAN