GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Raja Noraina Raja Rahim


Petaling Jaya: Penuntut kolej terdesak membuat laporan palsu mengatakan dirompak tiga lelaki bersenjata selepas wang diberikan keluarga disalah guna sehingga tidak dapat membayar hutang rakannya.

Perbuatan lelaki berusia 19 tahun itu terbongkar selepas siasatan dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, lelaki itu membuat laporan mendakwa dirompak tiga lelaki bersenjata sehingga kerugian RM10,300 pada 9.46 malam.

"Hasil soal siasat dijalankan mendapati laporan mengenai kejadian rompak yang dibuat suspek adalah palsu dan kejadian yang dilaporkan juga tidak berlaku.

"Siasatan mendapati punca suspek membuat laporan palsu kerana menyalahgunakan wang simpanan yang diberi oleh keluarga dan tidak dapat membayar wang dipinjam daripada rakannya," katanya dalam kenyataan hari ini.

Berikutan itu, beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan.

"Polis sudah merakam keterangan suspek untuk siasatan lanjut sebelum dibebaskan, sementara menunggu arahan lanjut daripada pihak pendakwaan bagi pertuduhan di mahkamah," katanya.

Beliau turut menasihati orang ramai supaya tidak membuat laporan palsu kerana boleh dikenakan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Disember 2022 @ 1:06 PM