Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim.
Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim.
Izz Laily Hussein


Johor Bahru :Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim meluahkan perasaan seolah tidak bersetuju dengan pelaksanaan memorandum persefahaman (MOU) antara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan ketua-ketua parti dalam Kerajaan Perpaduan.

Beliau menerusi satu nukilan sajak bertajuk 'Satu Deklarasi' berani mengaku bahawa dirinya sedia 'dipancung mati' kerana tidak rela melihat demokrasi Malaysia berkubur di Parlimen apabila Ahli-ahli Parlimen tidak dibenarkan untuk bercanggah pendapat dengan pentadbiran kerajaan.

Bekas Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Johor itu mempersoalkan MoU antara Pakatan Harapan (PH) dengan gabungan parti yang menyokong pembentukan Kerajaan Perpaduan yang disifatkannya sebagai tidak demokratik.

MoU berkenaan dakwanya, menyekat kebebasan dan amalan demokrasi ahli Parlimen untuk bebas membuat pilihan.

"Lusa (esok) 19 Disember... Tarikh keramat di Parlimen kami... Aku isytiharkan di sini... Aku akan mengundi bebas ikut hatiku... Akan aku berikan undi kepercayaan... Kepada Perdana Menteri sahabatku...

"Biarlah aku dipancung mati... Aku tidak rela... Di Parlimen Malaysia ini berkuburnya demokrasi...," tulisnya di Facebook, semalam.

Kelmarin, empat gabungan politik memeterai perjanjian dengan PH diwakili pemimpin tertinggi masing-masing iaitu Presiden Parti Warisan (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal; Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS), Tan Sri Abang Johari Abang Openg; Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Nor manakala PH, diwakili Anwar sebagai pengerusinya.

Turut menandatangani MoU berkenaan ialah Setiausaha Agung gabungan politik masing-masing iaitu Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mewakili PH, Datuk Seri Zambry Ab Kadir (BN), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi (GPS), Datuk Seri Marsidi Manjun (GRS) dan Datuk Loretto S Padua Jr (Warisan).

Antara isi kandungan MoU Kerajaan Perpaduan yang dilihat mengikat ahli Parlimen di bawah gabungan itu adalah apabila menyatakan mereka perlu mengundi dan menyokong setiap usul percaya dan rang undang-undang perbekalan atau apa-apa usul berbentuk prosedur yang mempunyai kesan kepada keabsahan Kerajaan Persekutuan.

Sekiranya gagal, enggan atau cuai ketika menjalankan tanggungjawab mereka termasuk pada sidang Khas Parlimen, Isnin depan, yang sekali gus membawa kepada pengosongan kerusi Parlimen.

Justeru, ia dianggap sebagai peletakan jawatan atau pemberhentian daripada menjadi ahli Parlimen, manakala kerusi ahli Parlimen terbabit perlu dikosongkan seperti dalam kerangka maksud Artikel 49A(1) Perlembagaan Persekutuan.

Esok, usul undi percaya akan tetap dibentangkan pada persidangan Dewan Rakyat bagi membuktikan keabsahan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke-10.

"Namun begitu... Sila dengar bicaraku... Adakah kita punya legitimasi... Wahai sahabat... Beroleh sekian-sekian ratus undi selamat melebihi .. Tetapi para MP (ahli Parlimen) hilang hak kebebasannya untuk mengundi?

"Ke mana perginya kepercayaan kita... Kepada pertimbangan bijaksana?

"Mengapa MoU yang ditandatangani semalam menjadi senjata tajam... Undi MP itu mesti mandatori... Tiada lagi budi bicara menjadi neraca imbangan?

"Ke mana hilangnya keyakinan kita kepada hati nurani manusia... Sehingga tergamak kita memberi kata dua: Patuh mengundi atau kamu hilang kerusi...

"Kepada sahabatku... Benarkan aku bertanya... Ini autokrasi atau demokrasi?" soalnya.

Dalam nukilan itu, Hassan berkata, ahli Parlimen bukan zombi atau robot yang hanya akan menurut kehendak kepimpinan tanpa mengambil kira pelbagai faktor termasuk kepentingan umum.

"Parlimen bukanlah tempat makhluk zombi... Yang bergerak satu hala saja... Mengikut arah si sang ketua..

"Biarlah aku bicara... Sebagai seorang MP di sini... Aku bukan robot, bukan zombi... Aku masih ada maruah... bukan bangkai bernyawa...," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Disember 2022 @ 5:24 PM