Sekumpulan pengunjung ciik tidak melepaskan peluang mengunjungi Zoo Negara sempena bermulanya musim cuti sekolah ketika tinjauan hari ini. FOTO BERNAMA
Sekumpulan pengunjung ciik tidak melepaskan peluang mengunjungi Zoo Negara sempena bermulanya musim cuti sekolah ketika tinjauan hari ini. FOTO BERNAMA
Izzati Zaidi

Kuala Lumpur: Kehadiran menggalakkan pengunjung Zoo Negara berjaya membantu menyeimbangkan semula keadaan kewangan pusat terbabit.

Timbalan Presiden Zoo Negara Rosly@Rahmat Amat Lana berkata, selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kehadiran pengunjung melonjak sekali gus menyeimbangkan status kewangan mereka.

"Alhamdulillah, selepas PKP tamat, orang ramai mula berpusu-pusu datang ke Zoo Negara kerana kawasan ini mempunyai 'open air space' (ruang terbuka) dan ada kalanya sehingga kita tidak dapat menampung kapasiti tempat letak kenderaan kerana pengunjung terlalu ramai," katanya.

Menurutnya, dana yang diberi daripada masyarakat masih lagi diterima dan digunakan sebaik mungkin.

"Masih ada orang yang memberi dana dan sumbangan, kebanyakannya ia adalah untuk digunakan khusus bagi penambahbaikan fasiliti yang ada di sini," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Sebelum ini dilaporkan Zoo Negara menghadapi krisis kewangan disebabkan penularan pandemik Covid-19 yang menyebabkan kerajaan mengumumkan PKP dilaksanakan sekali gus operasi pusat terbabit terpaksa dihentikan seketika.

Media melaporkan disebabkan penutupan operasinya, Zoo Negara mengalami kemerosotan pendapatan sekali gus menyukarkan usaha menampung kos operasi yang secara purata mencecah RM1 juta sebulan.

Mengulas lanjut dakwaan Zoo Negara tidak mempunyai apa-apa pembaharuan, beliau menafikan dakwaan yang diluah oleh setengah pengunjung di media sosial.

"Kita ada buat beberapa pembaharuan terutama sekali di tempat Panda yang sangat terkenal sekarang dan sudah dihias cantik.

"Pameran Orang Utan juga akan dirasmikan tidak lagi selepas menerima sumbangan orang ramai sebanyak lebih RM1 juta," katanya.

Mengenai dakwaan haiwan di Zoo Negara kurus, beliau berkata, keadaan haiwan di Zoo Negara kini berada dalam keadaan yang baik.

"Kita ada 4,000 haiwan di sini dan kesemuanya berada dalam keadaan yang baik.

"Haiwan ini diberi makan yang secukupnya dan mereka mempunyai diet dan catuan makanan mereka tersendiri," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Disember 2022 @ 3:43 PM