GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan lebat berterusan tahap buruk dijangka berlaku di Pahang dan Johor sehingga 12 tengah malam ini.

MetMalaysia dalam kenyataan hari ini memaklumkan hujan lebat itu akan berlaku di Pekan dan Rompin, Pahang serta Mersing, Johor.

"Amaran hujan berterusan (buruk) dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda yang menunjukkan hujan lebat berterusan dijangka berlaku dengan jumlah hujan melebihi 60 milimeter (mm) dalam tempoh enam jam," menurut kenyataan itu.

MetMalaysia turut mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap (waspada) dijangka berlaku di Pahang membabitkan Kuantan dan Bera, manakala di Johor meliputi Segamat, Kluang dan Kota Tinggi sehingga pukul 12 tengah malam ini.

Hujan berterusan turut akan berlaku di Kelantan, Terengganu, Pahang (Jerantut, Maran dan Rompin) serta Johor (Kluang, Mersing , Kulai, Kota Tinggi) dalam tempoh 17 Disember (Sabtu) hingga 20 Disember ini.

"Amaran hujan berterusan tahap (waspada) dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda yang menunjukkan hujan atau ribut petir sedang atau dijangka berlaku enam jam dalam tempoh itu di suatu kawasan," menurut kenyataan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Disember 2022 @ 3:22 PM