GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Izzati Zaidi


Kuala Lumpur: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap waspada (Kuning) yang dijangka berlaku di dua negeri dalam tempoh 7 Disember hingga 9 Disember.

MetMalaysia dalam kenyataan hari ini memaklumkan, hujan berterusan diramalkan berlaku di Terengganu dan Kelantan meliputi kawasan Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Jeli, Tanah Merah, Bachok, Machang, Pasir Puteh dan Kuala

Krai.

"Amaran Hujan Berterusan (Waspada) dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda yang menunjukkan hujan atau ribut petir sedang atau dijangka berlaku melebihi enam jam dalam tempoh tersebut di sesuatu kawasan," katanya.

Sementara itu, Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dalam kenyataan dimuat naik di Facebook, susulan amaran tahap waspada dikeluarkan, menyatakan Jawatankuasa

Pengurusan Bencana Peringkat Negeri atau Daerah hendaklah diaktifkan dan meningkatkan tahap kesiapsiagaan bagi menghadapi bencana yang mungkin berlaku terutama di kawasan berisiko tinggi.

"Pihak Jawatankuasa Pengurusan Bencana Peringkat Negeri atau Daerah juga dimohon untuk memastikan setiap pusat pemindahan sementara (PPS) dilengkapi dengan keperluan asas dan Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) mempunyai segala aset pengoperasian yang mencukupi serta berada di dalam keadaan yang baik dan bersedia untuk digunakan.

"NADMA melalui Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC) akan sentiasa memantau situasi parameter maklumat teknikal dengan kerjasama pelbagai agensi teknikal dan sentiasa dalam kesiapsiagaan," katanya, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Disember 2022 @ 3:39 PM