ANWAR selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara Tahun 2022 di Putrajaya. FOTO Mohd Fadli Hamzah.
ANWAR selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara Tahun 2022 di Putrajaya. FOTO Mohd Fadli Hamzah.
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta amalan memberi cenderahati kepada beliau dihentikan.

"Saya ingin mengingatkan semua pihak agar tidak memberi sebarang cenderahati kepada saya dan budaya ini mesti dihentikan.

"Saya hargai niat baik saudara saudari semua tetapi ini tidak bersesuaian dengan etika pengurusan dan pimpinan serta ia membebankan rakyat," katanya dalam kenyataan di Facebooknya hari ini.

Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Ke-10 pada 24 November lalu di Istana Negara.

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memberi perkenan pelantikan Anwar sebagai Perdana Menteri ke-10 selaras Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

Ia selepas Seri Paduka mengadakan Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu mengenai proses melantik Perdana Menteri susulan Pilihan Raya Umum ke-15 pada 19 November lalu.

PRU-15 menyaksikan PH memperoleh 82 kerusi; PN 73 kerusi; BN (30); GPS (23); GRS (enam); Warisan (tiga); Bebas (dua) manakala Parti Bangsa Malaysia dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) masing-masing menang satu kerusi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Disember 2022 @ 8:20 PM