TABUNG NGV pada sebuah lori meletup di stesen minyak dekat Kawasan Perindustrian Dato Onn, Jalan Langkasuka. FOTO Izz Laily Hussein
TABUNG NGV pada sebuah lori meletup di stesen minyak dekat Kawasan Perindustrian Dato Onn, Jalan Langkasuka. FOTO Izz Laily Hussein
Izz Laily Hussein


Johor Bahru: Dua lelaki termasuk seorang warga emas cedera selepas tabung gas asli (NGV) sebuah lori meletup di stesen minyak dekat Kawasan Perindustrian Dato Onn, Jalan Langkasuka, di sini, tengah hari tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari itu, pemandu lori berusia 64 tahun dilaporkan hanya cedera ringan di tangan namun pekerja stesen minyak berkenaan berusia 57 tahun yang turut cedera dikejarkan ke hospital.

Menurut Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Larkin, Mohd Faiz Suleiman, kedua-dua mangsa itu cedera selepas terkena serpihan tabung NGV yang meletup itu.

Katanya, letupan tabung NGV itu turut mengakibatkan sebuah teksi yang berada di stesen minyak, bangunan stesen minyak dan sebuah hostel pasar raya berhampiran rosak.

"Selepas menerima panggilan kecemasan pada jam 12.05 tengah hari, seramai 14 anggota digerakkan ke lokasi kejadian.

"Setibanya pasukan keluaran operasi (PKO) di lokasi kejadian didapati berlaku letupan tabung gas NGV sebuah lori jenis Isuzu tiga tan.

"Letupan berlaku ketika pengisian gas ke dalam tabung tong NGV itu," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya kemudian memberi rawatan kepada pemandu lori yang cedera ringan dan kemudian menghantar pekerja stesen minyak ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini, untuk mendapatkan rawatan lanjut.

"Seorang lagi pekerja stesen minyak iaitu wanita berusia 37 tahun dilaporkan selamat, namun trauma," katanya.

Menurut beliau, operasi kemudian ditamatkan pada jam 1.30 tengah hari,

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 November 2022 @ 4:28 PM