KEADAAN tempat letak kenderaan guru dan kakitangan SBPI Sabak Bernam yang roboh. FOTO Ihsan SBPI Sabak Bernam
KEADAAN tempat letak kenderaan guru dan kakitangan SBPI Sabak Bernam yang roboh. FOTO Ihsan SBPI Sabak Bernam
Norzamira Che Noh


SEKOLAH Berasrama Penuh Integrasi (SBPI) Sabak Bernam menanggung kerugian lebih RM150,000 apabila dilanda ribut, kesan daripada taufan Lekima yang melanda Taiwan, awal pagi, Sabtu lalu.

Pengetuanya, Azizah Mohd Adenan berkata, kerugian berkenaan adalah anggaran kasar, bagaimanapun, pihaknya menganggarkan nilai kerosakan berkenaan akan meningkat.

“Kita akan mengetahui nilai kerugian sebenar selepas pemeriksaan dilakukan oleh pakar yang dijangka hadir esok.

“Kita hanya mempunyai tabung bencana yang dikendalikan oleh Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan sehingga kini berjaya mengumpul RM6,000,” katanya kepada pemberita ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, antara kerosakan utama adalah tempat letak kenderaan guru dan kakitangan yang roboh sepenuhnya sekali gus meranapkan van sekolah serta lima motosikal.

Katanya, kerosakan lain adalah bumbung dewan utama tercabut, manakala siling jatuh, lima pintu ‘sliding’ tercabut, kerosakan pada lampu serta perkakas elektrik.

“Bumbung kelas bocor serta tingkap pecah, beberapa papan tanda tumbang, 10 pokok besar tumbang, bumbung bilik khas diterbangkan angin kira-kira 100 meter, 50 pasu bunga pecah serta alat bantu mengajar rosak,” katanya.

Azizah berkata, walaupun sekolah mengalami kerugian yang besar, pihaknya bersyukur kerana ketika kejadian tiada pelajar berada di sekolah berikutan sekolah bercuti selama seminggu.

Katanya, kejadian ribut itu berlaku sekitar 1 dan 2 pagi pada Sabtu lalu dan semua pelajar pulang ke rumah masing-masing ketika tengah hari pada hari Jumaat.

“Kita juga sudah memaklumkan perkara ini ke bahagian SBP dan pegawai berkaitan dijangka akan datang ke sekolah esok,” katanya.

Sebarang sumbangan boleh disalurkan kepada akaun Bank Islam 12056010011024 atas nama PIBG SBP Integrasi Sabak Bernam.

Sebanyak 443 rumah di Sabak Bernam dan sembilan di Kuala Selangor terjejas selepas dilanda ribut dipercayai kesan daripada taufan Lekima yang melanda Taiwan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Ogos 2019 @ 4:09 PM