Rina Harun melawat di beberapa buah sekolah yang rosak akibat kejadian ribut pada petang semalam. FOTO BERNAMA
Rina Harun melawat di beberapa buah sekolah yang rosak akibat kejadian ribut pada petang semalam. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Kuala Lumpur: Sepuluh sekolah di Parlimen Titiwangsa yang terjejas teruk akibat kejadian ribut semalam akan diselenggara dengan kadar segera.

Ahli Parlimen Titiwangsa Datuk Seri Rina Harun berkata, penyelenggaraan itu perlu disegerakan bagi memastikan proses pengajaran dan pembelajaran yang sedang berlangsung tidak terjejas.

"Saya sudah berhubung dengan YB Menteri Kanan Pendidikan (Datuk Dr Radzi Jidin) semalam dan beliau mengarahkan supaya proses penyelenggaraan dan baik pulih disegerakan," katanya ketika meninjau keadaan sekolah-sekolah yang terbabit, hari ini.

Dalam kejadian ribut lewat petang semalam, enam sekolah rendah dan empat sekolah menengah dalam Parlimen Titiwangsa rosak teruk apabila bumbung di beberapa bangunan yang membabitkan kelas dan makmal komputer diterbangkan angin kencang.

Sekolah menengah terbabit ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Maluri, SMK Datuk Lokman, SMK St Gabriel dan SMK Cochraine.

Sekolah rendah pula ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Puteri Pandan 1, SK Puteri Pandan 2, SK St Gabriel, SK Taman Maluri, SK Cochrane Perkasa dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Tsun Jin.

Sementara itu, Rina yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata, bahagian aset Kementerian Pendidikan ke sekolah-sekolah terbabit bagi menilai kerosakan untuk menentukan kos baik pulih dan penyelenggaraan sekolah-sekolah berkenaan.

Setakat ini, katanya beliau difahamkan tiada sebarang penangguhan sesi pembelajaran kerana murid-murid dipindahkan ke kelas khas mengikut prosedur operasi standard ditetapkan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 April 2021 @ 4:04 PM