Mohamed Farid Noh


Pontian: Keutamaan pemilihan anggota Kabinet Perdana Menteri ke-10, Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu mengikut hierarki atau struktur jawatan dalam parti yang menyokong gabungan kerajaan perpaduan.

Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan berharap pucuk pimpinan Umno dan Barisan Nasional (BN) iaitu Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Mohamad Hasan dirunding sebelum senarai Kabinet Kerajaan Perpaduan diumumkan nanti.

Katanya, sebelum ini, Ahmad Zahid tidak dirunding pada pembentukan dua Kabinet yang lalu.

"Kali ini, Presiden Umno yang juga Pengerusi BN perlu dirunding untuk buat keputusan pembentukan Kabinet Kerajaan Perpaduan.

"Saya difahamkan ketika Kabinet Tan Sri Muhyiddin Yassin (Perdana Menteri Kelapan), Presiden dan Timbalan Presiden Umno tidak dirunding.

"Maka anggota Kabinet yang dilantik (Muhyiddin) itu tidak mengikut hierarki parti. Itu yang berlaku ketika Muhyiddin jadi Perdana Menteri.

"Saya harap Anwar yang jadi Perdana Menteri ke-10, berunding dengan pucuk pimpinan parti terutama presiden supaya ia jadi suara parti, bukan orang-orang lain yang jadi suara parti. Ini adalah kebaikan semua pihak," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis doa selamat dan Ahli Parlimen Pontian di Benut, di sini, hari ini.

Semalam, media melaporkan, pemilihan calon TPM dari BN bagi mengisi slot pentadbiran Kerajaan Perpaduan perlu dibuat berdasarkan hierarki parti.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Mohd Razlan Rafii dilaporkan berkata, keputusan mengenai pelantikan jawatan TPM itu perlu dibuat dengan 'kembali' kepada hierarki dan keputusan parti.

Sehubungan itu, beliau dilaporkan berkata, berdasarkan hierarki parti, Ahmad Zahid adalah calon yang perlu menggalas jawatan berkenaan.

Sebelum ini, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun dilaporkan mencadangkan Mohamad diketengahkan sebagai calon Timbalan Perdana Menteri yang mewakili gabungan itu dalam Kabinet Kerajaan Perpaduan.

Ditanya sama ada Umno atau BN ada mencadangkan nama tertentu untuk mengisi jawatan Timbalan Perdana Menteri, Ahmad yang menang kerusi Parlimen Pontian pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) berkata, perkara itu akan ditentukan pucuk pimpinan parti.

"Adalah adil dan wajar untuk berbincang dengan presiden, timbalan dan kepimpinan utama parti untuk dipilih siapa yang terbaik untuk Umno dan BN namakan sebagai Timbalan Perdana Menteri.

"Mengenai Kabinet ini, siapa nama yang dipilih, pecahan bilangan setiap parti mahupun sama ada rundingan sudah selesai, saya tidak masuk campur. Kita serah pada pucuk pimpinan parti untuk buat pilihan daripada parti masing-masing," katanya.

Mengulas mengenai bila senarai Kabinet Kerajaan Perpaduan akan diumumkan, Ahmad berkata, ia dijangka minggu depan.

"Dijangkakan minggu depan bermula esok hingga Jumaat. Tarikh sebenar saya tidak tahu.

"Mengenai nama saya turut disebut-sebut menganggotai Kabinet, itu saya serahkan kepada kebijaksanaan pucuk pimpinan Umno dan BN," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 November 2022 @ 11:43 AM