Abdul Ghani Salleh ketika sidang media Pilihan Raya Umum ke-15 di Putrajaya. FOTO MOHD FADLI HAMZAH
Abdul Ghani Salleh ketika sidang media Pilihan Raya Umum ke-15 di Putrajaya. FOTO MOHD FADLI HAMZAH
Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) mengemaskini data terbaharu keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 hari ini.

Pengerusinya, Tan Sri Abdul Ghani Salleh berkata, ketika ini Pakatan Harapan (PH) memperoleh 76 kerusi parlimen diikuti Perikatan Nasional (PN) pula 51 kerusi.

"Selain itu, Barisan Nasional (BN) berjaya meraih 30 kerusi, Parti Islam Se-Malaysia (Pas) pula 22 manakala Gabungan Parti Sarawak 22 kerusi.

"Bagi parti Gabungan Rakyat Sabah memperoleh enam kerusi, Democratic Action Party (5), Parti Warisan Sabah (3), Bebas (2) manakala masing-masing satu iaitu Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Parti Bangsa Malaysia (PBM) dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM)," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Abdul Ghani berkata, kemaskini data terbaharu itu berikutan keputusan pengundian bagi Bahagian Pilihan Raya Parlimen P168 Kota Marudu yang selamat diterima dan diumumkan pada 6.40 pagi, hari ini.

"Bahagian Pilihan Raya Parlimen P168 Kota Marudu dimenangi oleh calon Datuk Wetrom Bahanda daripada KDM dengan jumlah 24,318 undi dan majoriti sebanyak 8,174 undi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 November 2022 @ 1:57 PM