RAFIZI Ramli. FOTO arkib NSTP
RAFIZI Ramli. FOTO arkib NSTP
Mahani Ishak


Kuala Lumpur: Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli mendahului di Parlimen Pandan bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) berdasarkan keputusan tidak rasmi setakat 9 malam ini.

Calon Pakatan Harapan (PH) itu meraih 14,678 undi dengan majoriti 10,844 undi, diikuti Muhammad Farique Zubir Albakri (Perikatan Nasional) sebanyak 3,070 undi.

Ketua MCA Bahagian Pandan, Datuk Leong Kok Wee daripada Barisan Nasional (BN) mendapat 1,609 undi; calon Parti Warisan Sabah (WARISAN), Tan Sri Ong Tee Keat (845 undi) manakala 114 undi diraih Nadia Hanafiah (Gerakan Tanah Air).

Keputusan tidak rasmi itu berdasarkan 44 peti undi yang diterima daripada keseluruhan 249 peti undi.

Mengikut rekod, Rafizi dan Tee Keat masing-masing pernah menyandang kerusi Parlimen itu pada pilihan raya lalu.

Tee Keat pernah menyandang kerusi itu selama dua penggal dari 2004 hingga 2013 ketika mewakili BN, selepas berkhidmat selama empat penggal dari 1989 sebagai Ahli Parlimen Ampang Jaya, manakala Rafizi pernah menyandang kerusi itu pada PRU13.

Pada PRU-14, kerusi Parlimen itu dimenangi Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dengan majoriti 52,543 undi membabitkan pertembungan lima penjuru.

Bagaimanapun, pada PRU-15, Pengerusi Majlis Penasihat PKR memberi laluan kepada Rafizi apabila Dr Azizah bertanding di Parlimen Bandar Tun Razak.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 November 2022 @ 9:18 PM