TEBING rumah bersebelahan dengan longkang besar runtuh akibat arus air hujan lebat ketika tinjauan di Taman Pasir Jelok, Kajang. FOTO Aizuddin Saad
TEBING rumah bersebelahan dengan longkang besar runtuh akibat arus air hujan lebat ketika tinjauan di Taman Pasir Jelok, Kajang. FOTO Aizuddin Saad
Redzuan Muharam

Kajang: Banjir kilat yang melanda beberapa kawasan perumahan sekitar bandar ini akibat hujan lebat sejak malam semalam hingga awal pagi tadi sudah surut.

Tinjauan Harian Metro di Taman Pasir Emas, di sini, mendapati hanya tinggal kesan lumpur di atas jalan, bahu jalan serta beberapa rumah penduduk.

Penduduk, Wan Chee Keong, 50, berkata air mulai naik kira-kira 2 pagi dan dia tersedar selepas terdengar bunyi riuh di hadapan rumah.

Menurutnya, sebaik keluar rumah, dia mendapati halaman rumahnya sudah dinaiki air.

"Bagaimanapun, air naik tidak lama, cuma sejam saja sebelum surut semula. Banjir mungkin berlaku akibat limpahan Sungai Langat berhampiran, namun saya lega kerana air tidak masuk ke dalam rumah," katanya ketika dihubungi, di sini.

Bapa dua anak itu berkata, dia baru menetap di kawasan perumahan itu sejak lima tahun lalu dan sudah lali dengan banjir kilat yang kerap kali terjadi.

"Setiap tahun banjir, boleh saya katakan dua kali dalam setahun. Malah, ada jiran sampai pindah ke tempat lain kerana tidak tahan berdepan banjir.

"Saya pula bertahan kerana tiada wang, jadi bagaimana mahu pindah dan beli rumah lain?" katanya yang bekerja sebagai operator mesin.

Sementara itu, penduduk Taman Kajang Raya yang mahu dikenali sebagai Karina, 44, berkata tiada banjir kilat berlaku di kawasan perumahannya walaupun hujan lebat sehingga awal pagi tadi.

"Memang hujan lebat tetapi air tidak naik, malah tiada banjir. Mungkin air naik di kawasan jalan depan saja," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 November 2022 @ 2:38 PM