GAMBAR hiasan. FOTO Fariz Iswadi Ismail.
GAMBAR hiasan. FOTO Fariz Iswadi Ismail.
Ekhwan Haque Fazlul Haque


Kuala Lumpur: Pertambahan trafik sehingga 1.9 juta kenderaan dijangka berlaku di semua rangkaian lebuh raya kendalian Plus sempena cuti umum Hari Deepavali bermula esok.

Ketua Pegawai Operasi Plus, Datuk Zakaria Ahmad Zabidi berkata, jumlah itu menunjukkan peningkatan berbanding 1.7 juta kenderaan sehari pada hari biasa.

Sehubungan itu, katanya, Plus mengeluarkan Jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) bagi memastikan kelancaran perjalanan pengguna lebuh raya.

Zakaria berkata, ia juga bagi membantu orang ramai merancang perjalanan mereka di samping membantu kami mengagihkan trafik yang bergerak di pelbagai destinasi.

Menurutnya, TTA diwujudkan bagi mengagih trafik dan mengurangkan kesesakan terutamanya di lokasi kritikal, plaza tol dan kawasan rehat sepanjang musim perayaan ini.

"Ia direka untuk mengelakkan pelanggan yang menuju ke destinasi lebih jauh daripada 'bertembung' dengan kumpulan kenderaan yang menuju ke destinasi lebih dekat.

"TTA boleh memberikan kesan yang lebih baik kepada pengalaman perjalanan pelanggan lebuh raya," katanya dalam kenyataan media malam ini.

Katanya, jadual TTA boleh juga boleh dirujuk di laman web www.plus.com.my serta saluran media sosial Plus.

Selain itu, Zakaria berkata, Plus juga akan memastikan tiada penutupan lorong atau kerja penyelenggaraan serta naik taraf atau pembinaan dilaksanakan bermula esok hingga 25 Oktober ini.

Beliau berkata, pengguna lebuh raya dari Lembah Klang yang menuju ke Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Johor supaya dinasihatkan menggunakan lebuh raya sebelum jam 10 pagi.

Katanya, pengguna lebuh raya dari negeri berkenaan yang bergerak pulang ke Lembah Klang bermula 24 hingga 26 Oktober pula disarankan supaya memasuki lebuh raya sebelum jam 10 pagi.

"Untuk perjalanan yang lebih selesa, Plus dengan kerjasama Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengaktifkan Ujian Awam SmartLane di laluan Bukit Tambun-Plaza Tol Juru dan Sungai Petani Selatan-Hentian Sebelah Tikam Batu untuk mengurangkan kesesakan selain mengeluarkan arahan supaya tiada penutupan lorong untuk kerja penyelenggaraan dilaksanakan bagi memastikan kelancaran trafik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Oktober 2022 @ 10:17 PM