Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Orang ramai dijangka bergerak lebih awal ke kampung halaman untuk mengundi susulan pengumuman cuti umum sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) pada Jumaat dan Sabtu ini.

Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, pihaknya menerusi Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) sudah membuat persediaan mengatur tugasan di seluruh negara.

"Kita tidak ada masalah mengendalikan situasi trafik yang tinggi kerana memang ada pengalaman mengendalikannya ketika musim perayaan.

"Untuk pilihan raya kali ini, ia tiada beza. Cuma saya mohon pengguna jalan raya serta pengundi atur perjalanan masing-masing dan mematuhi peraturan lalu lintas.

"Ia demi mengurangkan jumlah kemalangan dan kesesakan ekoran pemanduan yang tidak berhemah dan seumpamanya," katanya pada sidang media selepas membuang undi di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, di sini, hari ini.

ACRYL Sani hadir bagi membuang undi beliau pada undi awal bagi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman. FOTO ASYRAF HAMZAH
ACRYL Sani hadir bagi membuang undi beliau pada undi awal bagi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman. FOTO ASYRAF HAMZAH

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan hari kelepasan am pada Jumaat dan Sabtu ini bagi memudahkan Keluarga Malaysia menunaikan tanggungjawab masing-masing untuk mengundi pada PRU-15.

Mengulas mengenai insiden khianat bahan kempen, Acryl Sani berkata, perbuatan itu ada dilaporkan berlaku pada pilihan raya kali ini namun jumlah kes direkodkan lebih kecil berbanding sebelumnya.

"Ia berlaku (perbuatan khianat) dan kita tidak dapat nak elak perkara sedemikian.

"Namun apa jua laporan diterima akan disiasat dengan telus dan adil membabitkan semua pihak tanpa mengira mana-mana parti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 November 2022 @ 12:28 PM