Rosman Shamsudin


Bidor: Kira-kira 600 penduduk yang tinggal berhampiran Sungai Gedong berharap calon yang menang dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) dapat membantu menyelesaikan permohonan geran hak milik tapak rumah yang mereka diami di Kampung Padang, dekat sini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Padang, Wahid Hamzah, 67, berkata, penduduk sudah membuat permohonan pada Mac 2021.

Katanya, sehingga kini permohonan belum lagi selesai menyebabkan penduduk bimbang nasib mereka dan generasi akan datang.

"Kawasan itu membabitkan 57 rumah dan ada di antara penduduk sudah menetap sejak 60 tahun yang lalu.

"Alasan diberikan oleh pihak berkenaan sebelum ini ialah tapak rumah adalah rizab sungai dan tidak sesuai dijadikan kawasan penempatan malah kedudukannya juga di kawasan talian elektrik tidak bersalut," katanya ketika ditemui sempena Program Kenduri Sekampung dekat Kampung Padang, hari ini.

Turut hadir, calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Tapah, Datuk Seri M Saravanan.

SARAVANAN bersama penduduk ketika menghadiri Program Kenduri Sekampung di Kampung Padang, hari ini. FOTO Rosman Shamsudin
SARAVANAN bersama penduduk ketika menghadiri Program Kenduri Sekampung di Kampung Padang, hari ini. FOTO Rosman Shamsudin

Wahid berkata, itulah satu-satunya tapak rumah yang dimiliki oleh penduduk sejak sekian lama dan untuk berpindah ke tempat lain agak sukar kerana kebanyakan mereka tidak mempunyai pekerjaan tetap.

"Kawasan itu seluas kira-kira enam hektar saja dan saya berharap penduduk dapat memiliki geran hak milik tapak rumah secepat mungkin.

"Saya juga amat berharap calon yang menang dan diberi mandat oleh rakyat dalam PRU-15, selepas ini dapat membantu merealisasikan impian penduduk berkenaan," katanya.

Sementara itu, penduduk, Razali Hasan, 64, berkata, dia belum memiliki tapak rumah dan kini menumpang di tanah milik orang kampung.

Katanya, dia berharap selain calon yang menang nanti dapat membantunya memiliki tapak rumah sendiri demi kelangsungan hidup.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 November 2022 @ 4:36 PM