SUB stesen milik TNB musnah dihempap bongkah batu. FOTO Ihsan Bomba.
SUB stesen milik TNB musnah dihempap bongkah batu. FOTO Ihsan Bomba.
Amirul Aiman Hamsuddin


Kuala Selangor: Sub stesen milik Tenaga Nasional Berhad (TNB) musnah selepas dihempap bongkah batu yang runtuh di sebuah ladang ternakan ayam di Kampung Raja Musa, Bestari Jaya, di sini, hari ini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 11.11 pagi.

Beliau berkata, sepasukan enam anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bestari Jaya dikejarkan ke lokasi kejadian.

"Hasil pemeriksaan mendapati berlaku runtuhan batu besar dan mengenai sub stesen TNB.

"Ia mengakibatkan kerosakan pada bangunan terbabit dengan anggaran kemusnahan kira-kira 80 peratus namun tidak membabitkan mangsa," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Pada masa sama, Norazam berkata, pihaknya turut mengarahkan pemilik ladang untuk memindahkan pekerjanya ke lokasi lain.

"Pihak bomba bimbang berlaku runtuhan lagi kerana asrama pekerja juga berhampiran dengan lokasi runtuhan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 November 2022 @ 3:32 PM