Zaid Salim

Kemaman: "Orang PAS 'better be careful' (lebih baik berhati-hati) dengan Rosol Wahid (Datuk). Rosol hati Umno. Dia sebelum ini setiausaha perhubungan saya. Saya kenal dia. Jadi orang Pas, berjaga-jaga dengan calon ini," kata bekas Ahli Parlimen Besut Tan Sri Idris Jusoh.

Idris berkata, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna itu adalah individu yang berjiwa Umno.

Atas sebab itu, Idris melihat Perikatan Nasional (PN) sukar untuk memenangi kerusi Parlimen Hulu Terengganu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Idris yang juga bekas Menteri Besar Terengganu mendakwa, PAS Hulu Terengganu berat hati bekerja untuk memenangkan calon berkenaan.

"Orang PAS 'a big reluctant' (berat hati) bekerja untuk menangkan Rosol...kerana dia (Rosol) bukan orang Pas, dia orang Umno, jiwa Umno. PAS better be careful dengan calon ini," katanya sebagai mengulas peluang penyandang kerusi Parlimen Hulu Terengganu itu mengekalkan kerusi yang dimenanginya atas tiket Barisan Nasional (BN) pada PRU-14.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Program Jom Masuk Rancangan di Felda Neram II semalam.

Pada PRU-14, Rosol yang bertanding atas tiket BN menang dengan majoriti 2,868 menewaskan calon PAS, Muhyiddin Abdul Rashid dan calon Bersatu, Datuk Razali Idris.

Bagaimanapun, Rosol memutuskan keluar daripada Umno dan menyertai Bersatu pada 14 Disember 2018.

Menurut Idris, penampilan Datuk Rozi Mamat buat julung kali di pentas Parlimen sememangnya tepat bagi memastikan kemenangan.

"Rozi (Datuk) juga jaguh dan ada potensi untuk menang," katanya.

Idris berkata, selain Hulu Terengganu, tiga lagi parlimen iaitu Besut, Dungun dan Kemaman berpotensi untuk menang berdasarkan penampilan calon yang ditampilkan berkaliber, seimbang dalam ilmu agama dan politik.

Menurutnya, Besut berpeluang menang kerana calon yang ditampilkan PAS adalah calon yang ditolak Umno kerana gagal melaksanakan tugas sepanjang berkhidmat sebagai ahli Parlimen BN Setiu pada 2013 hingga 2018.

IDRIS ketika berucap pada Program Jom Masuk FELDA di Felda Neram 2. FOTO Zaid Salim
IDRIS ketika berucap pada Program Jom Masuk FELDA di Felda Neram 2. FOTO Zaid Salim

Idris berkata, Datuk Nawi Mohamad yang mewakili BN mempunyai peluang cerah untuk menang di kerusi itu kerana PN mempertaruhkan calon yang ditolak BN.

"Calon Parlimen Dungun, Nurhisam Johari adalah ustaz dan masih muda berusia 40 tahun, juga dilihat berpotensi untuk menang.

"Inilah masanya untuk kita meremajakan Umno, kita kena buka minda, beri peluang kepada anak muda.

"Manakala di Kemaman pula, sambutan rakyat sangat baik dan calon kita, Datuk Seri Ahmad Said memang berjiwa rakyat dan disenangi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 November 2022 @ 2:16 PM