GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

Butterworth: Seorang anggota polis maut selepas motosikal yang ditungganginya terbabit kemalangan dengan sebuah kenderaan petugas Projek Penyelenggaraan Lebuh Raya Berhad (PROPEL) di Jambatan Pulau Pinang, di sini, tengah malam tadi.

Dalam kejadian pada 12.48 tengah malam itu, Koperal Abu Talib Sarif, 33, yang baru pulang daripada menjalankan Op Cantas di Seberang Perai Tengah (SPT) maut di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah di beberapa bahagian badan.

Mayat dibawa ke Hospital Seberang Jaya untuk bedah siasat.

Menurut kenyataan di laman Facebook Polis Diraja Malaysia (PDRM) Pulau Pinang, mangsa bertugas di Bahagian Siasatan Khas (D9) Jabatan Siasatan Jenayah Kontijen Pulau Pinang.

"Seluruh warga PDRM Kontinjen Pulau Pinang menzahirkan ucapan takziah buat seluruh ahli keluarga Allahyarham Abu Talib dan jenazah dijangka dikebumikan selepas solat Zohor di Sungai Petani, Kedah," menurut kenyataan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 November 2022 @ 11:59 AM