ANGGOTA bomba menyelamatkan wanita yang mengalami kecederaan pada kaki ketika mendaki di Gunung Datuk, di sini, petang semalam. Foto Ihsan Bomba.
ANGGOTA bomba menyelamatkan wanita yang mengalami kecederaan pada kaki ketika mendaki di Gunung Datuk, di sini, petang semalam. Foto Ihsan Bomba.
Ahmad Hasbi


Rembau: Dua wanita yang mengalami kecederaan pada kaki ketika mendaki Gunung Datuk, di sini, bernasib baik selepas dibawa turun dengan bantuan bomba, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam jam 4 petang itu, pihak bomba mengambil masa kira-kira tiga jam untuk mendaki dan membawa kedua-dua pendaki wanita berusia dalam lingkungan 20-an itu ke bawah.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota, Ahmad Hafezze Mat Junoh berkata, kedua-dua wanita itu berada di lokasi dan ketinggian berbeza menyebabkan operasi mengambil masa lebih lama.

"Pihak kami menerima panggilan jam 4 petang sebelum pasukan dari BBP Kota bergegas ke lokasi dan memulakan pendakian. Kami menemui mangsa pertama di ketinggian 200 meter yang mengalami kecederaan kecederaan pada buku lali dan lutut.

"Kami memberikan rawatan awal dan membawanya turun dengan memapahnya memandangkan keadaan bentuk muka bumi yang curam dan tidak sesuai untuk menggunakan pengusung," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Ahmad Hafezze berkata, ketika dalam perjalanan turun membawa mangsa pertama, kami mendapat maklumat seorang lagi wanita mengalami kecederaan di lokasi berlainan.

"Anggota yang ada mendaki semula dan menemui mangsa kedua pada ketinggian 300 meter yang mengalami kecederaan pada buku lali dan tidak boleh berjalan langsung.

"Rawatan awal diberikan dan kami membawanya turun dengan memikulnya. Peralatan pengusung tidak sesuai digunakan.

"Kira-kira jam 7. 30 malam kami berjaya membawa kedua-duanya di kaki bukit seterusnya mangsa dibawa ke Hospital Rembau untuk menerima rawatan susulan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 November 2022 @ 1:02 PM