Siti Rohana Idris


Image

Tumpat: Laungan 'Hidup Che Loh' mengiringi calon Barisan Nasional (BN), Datuk Che Abdullah Mat Nawi sebaik selesai proses penamaan calon untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) hari ini.

Kira-kira 500 penyokong BN 'menyambut' Che Abdullah dengan laungan itu sebaik beliau keluar dari perkarangan Pejabat Tanah dan Jajahan di sini.

Proses penamaan calon untuk Parlimen Tumpat berjalan lancar dengan menyenaraikan lima calon iaitu Che Abdullah (BN), Datuk Mumtaz Md Nawi (PAS), Che Mohd Asemari Che Ali untuk Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Khairul Azuan Kamarrudin (Warisan) dan Wan Mohd Johari Wan Omar (Pakatan Harapan).

Che Abdullah berkata, dia akan mulakan kempen bagi memenangi hati rakyat Tumpat untuk meneruskan agenda yang masih belum selesai ketika beliau menjadi ahli parlimen pada penggal lalu.

"Saya diterima menjadi calon parlimen P019 dan Insya-Allah akan mulakan kempen untuk cuba memenangi PRU kali ini dan diharapkan rakyat Tumpat beri sokongan untuk kita teruskan agenda yang belum selesai.

"Sekurang-kurangnya beri lagi satu penggal untuk saya berbakti pada rakyat Kelantan dan Tumpat khususnya...saya rindu dan sayangkan rakyat Tumpat," katanya kepada media.

Persaingan sengit dilihat bakal berlaku antara beliau dengan Mumtaz kerana kedua-duanya pernah berada di bawah satu bumbung parti sebelum ini.

Datuk Che Abdullah Mat Nawi diarak penyokong selepas selesai proses penamaan calon di Pejabat Tanah dan Jajahan Tumpat di sini, hari ini. FOTO Siti Rohana Idris
Datuk Che Abdullah Mat Nawi diarak penyokong selepas selesai proses penamaan calon di Pejabat Tanah dan Jajahan Tumpat di sini, hari ini. FOTO Siti Rohana Idris

Che Abdullah berkata, sepanjang beliau berkecimpung dalam bidang politik, aspek persaudaraan sentiasa diterapkan malah untuk situasi baharu yang perlu bertanding dengan calon yang pernah berada dalam satu parti yang sama, politik persaudaraan masih diteruskannya.

"Bukan kerana kerusi tetapi saya membawa pembangunan kerana sepanjang berkecimpung dalam politik, saya sentiasa mempeloporkan persaudaraan. Sebab itu, apabila Umno memberi ruang untuk bertanding, saya tidak begitu asing dengan pemimpin Umno kerana sudah jalinkan persaudaraan malah politik saya adalah politik persaudaraan.

"Cuma mungkin cubaan daripada Allah SWT dalam saya mempeloporkan persaudaraan itu, tiba-tiba dalam parti saya sendiri penuh dengan kebencian. Saya tak pernah kecewakan rakyat Tumpat," katanya.

Ketika ditanya mungkin beliau berdepan dengan kesukaran untuk membolos kubu PAS di mana-mana kampung ketika berkempen memandangkan sudah beralih parti, Che Abdullah berkata, dia tidak merasakan timbul masalah kerana ramai yang masih menyokongnya.

"Saya rasa tiada masalah dan yakin terhadap sahabat, pendukung PAS lain apabila mengetahui apa yang sebenarnya berlaku, mereka akan menyokong saya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 November 2022 @ 1:21 PM