ADNAN Abu Hassan. FOTO Azrul Edham
ADNAN Abu Hassan. FOTO Azrul Edham
Mohd Amin Jalil


Seremban: Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen Kuala Pilah, Datuk Adnan Abu Hassan, tidak melihat keputusan pada pilihan raya lalu, sebagai laluan mudah untuknya memenangi kerusi berkenaan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), 19 November ini.

Beliau berkata, walaupun penyandang kerusi itu, Datuk Eddin Syazlee Shith dari Perikatan Nasional (PN) memenangi kerusi itu pada PRU-14 dengan majoriti 200 undi, tapi ia tidak boleh dilihat sebagai cabaran mudah.

Katanya, beliau percaya laluan baginya tetap sukar kerana suasana pilihan raya kali tahun ini sudah berbeza dan membabitkan pertandingan pelbagai penjuru.

"Mengambil kira situasi berkenaan, saya akan meletakkan diri saya sebagai calon 'underdog' (bukan pilihan) untuk memastikan kami terus bekerja keras menambat hati pengundi Kuala Pilah.

"Sasaran saya sememangnya untuk merampas kembali kerusi Kuala Pilah kerana dari segi sejarahnya kerusi ini sememangnya milik BN sejak sekian lama," katanya ketika di sini, hari ini.

Adnan, 52, yang juga Timbalan Ketua Umno Bahagian Kuala Pilah dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Senaling menerima watikah calon PRU-15 daripada Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan, dalam satu majlis di sini, semalam.

Beliau berkata, persiapan bagi menggerakkan jentera pilihan raya BN untuk kerusi berkenaan sudah disiapkan lebih awal dan usaha meningkatkan momentum itu sedang dilaksanakan.

Menurutnya, pihaknya yakin dan percaya, pengundi Kuala Pilah akan beralih kepada BN pada pilihan raya kali ini selepas mengambil kira kegagalan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang memerintah selama 22 bulan sebaik memenangi PRU-14.

"Di Kuala Pilah juga tiada isu besar yang berbangkit atau perkara yang boleh menggugat kesetiaan ahli untuk bersama dalam saf BN.

"Saya akan sedaya upaya untuk menemui semua pengundi sepanjang kempen nanti.

"Saya yakin akan mendapat sokongan daripada pengundi, namun kerja keras tetap perlu dilakukan terutama dalam menarik pengundi muda," katanya.

Berdasarkan laporan dan pengumuman parti yang bertanding, Parlimen P129 Kuala Pilah dijangka membabitkan sekurang-kurangnya empat penjuru antara BN, PN dan PKR dan Warisan.

Selain, Adnan (BN) dan Eddin (PN) yang akan mempertahankan kerusi berkenaan,mPKR sudah memilih Ketua Penerangan PKR Negeri Sembilan Nor Azman Mohamad sebagai calon PH manakala Warisan pula meletakkan Pengerusi Warisan Negeri Sembilan, Datuk Azman Idris.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 November 2022 @ 12:07 PM