DATUK Ramlan Askolani
DATUK Ramlan Askolani
Noor Hidayah Tanzizi


Kuala Lumpur: Sebagai bekas ahli sukan, calon Barisan Nasional (BN) bagi Parlimen Lembah Pantai, Datuk Ramlan Askolani bersedia untuk membangunkan fasiliti sukan dan rekreasi di kawasan berkenaan.

Selain itu beliau yang juga bekas pemain bola sepak kebangsaan berkata, mahu membina rumah mampu milik bagi penduduk Lembah Pantai yang kurang berkemampuan supaya mereka mempunyai kediaman yang selesa.

Menurutnya, isu berkaitan kos sara hidup, pendidikan dan peluang pekerjaan turut akan diambil perhatian khususnya dalam keadaan ekonomi negara tidak menentu.

"Kita tidak banyak kawasan (di Lembah Pantai) yang sesuai dan agak terhad (tetapi) kalau ada kawasan yang bersesuaian untuk membangunkan perumahan mampu milik, saya akan memperjuangkannya dan (kita juga) kekurangan fasiliti rekreasi," katanya ketika ditemui di pejabatnya, di sini, hari ini.

Ramlan, 61, turut menyifatkan dirinya sebagai calon 'underdog' di Lembah Pantai, tetapi tetap yakin dengan usaha dan khidmatnya sejak 1993 di kawasan itu akan dinilai dengan baik penduduk setempat.

Menggelarkan dirinya sebagai 'KL Boy', Ramlan mengakui beliau bukan individu asing di Lembah Pantai sekali gus mahu menyumbang bakti sebagai wakil rakyat sepanjang berkhidmat di kawasan itu.

Menurutnya, tambahan 3,000 pengundi muda di Parlimen berkenaan disifatkan antara cabaran untuk 'menambat hati' golongan terbabit untuk memberi mandat kembali kepada BN.

"Saya yakin dengan khidmat yang berterusan selama ini menjadi sandaran kepercayaan warga Lembah Pantai kembali memberi peluang kepada BN.

"Memang ada cabaran (berhadapan pesaing), tetapi saya percaya dengan kesungguhan dan iltizam untuk berkhidmat kepada masyarakat, itulah kunci utama.

"Saya mahu buat pencapaian baik (sebagai) bekas pemain bola sepak boleh menjadi ahli politik yang baik," katanya.

Ramlan akan bersaing dengan calon PKR mewakili Pakatan Harapan yang juga penyandang kerusi Lembah Pantai, Fahmi Fadzil; calon Pas, Fauzi Abu Bakar dan Noor Asmah Mohd Razalli daripada Gerakan Tanah Air (GTA).

Untuk rekod, pada PRU-14, kerusi Lembah Pantai dimenangi Fahmi dengan majoriti 5,598 undi menewaskan calon BN, Datuk Seri Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin dan Fauzi.

Fahmi mendapat 33,313 undi berbanding Raja Nong Chik (27,715 undi) dan Fauzi (5,277 undi).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 November 2022 @ 9:46 PM