PREMIS yang didapati  berkaitan dengan kegiatan perjudian dalam talian secara haram di bandar raya Johor Bahru dikenakan tindakan tegas oleh pihak berkuasa.
PREMIS yang didapati berkaitan dengan kegiatan perjudian dalam talian secara haram di bandar raya Johor Bahru dikenakan tindakan tegas oleh pihak berkuasa.
Izz Laily Hussein

Johor Bahru: Lesen perniagaan mana-mana peniaga yang bersekongkol dengan kegiatan perjudian dalam talian secara haram di bandar raya ini akan dibatalkan serta-merta jika disabit bersalah.

Datuk Bandar Johor Bahru Datuk Mohd Noorazam Osman berkata, Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) tidak berkompromi dalam perkara itu dan tindakan diambil mengikut Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171) selain peruntukan undang-undang berkaitan.

Katanya, MBJB juga bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam membasmi kegiatan itu dan saling berkongsi maklumat untuk penguatkuasaan.

"Tahun ini, terdapat 36 premis yang didapati bersalah kerana menjalankan operasi judi dalam talian dan daripada jumlah itu, 24 premis adalah berlesen.

"Kes membabitkan 24 premis itu sudah dibawa ke Mesyuarat Jawatankuasa Pelesenan MBJB bulan ini (Oktober) untuk tindakan pembatalan lesen," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Mohd Noorazam berkongsi proses penguatkuasaan diambil yang bermula daripada perkongsian maklumat PDRM dan pengeluaran surat pematuhan syarat pelesenan dalam tempoh 30 hari.

"Ia adalah pemakluman untuk pihak syarikat (perniagaan) hadir ke Jabatan Pelesenan MBJB berserta maklum balas pematuhan syarat pelesenan yang dikeluarkan secara rasmi.

"Pada masa sama, kita juga akan menunggu maklum balas keputusan siasatan kes yang dijalankan polis, sebelum tindakan pembatalan lesen perniagaan dan iklan diambil jika disabit kesalahan," katanya.

Menurutnya, pembatalan lesen adalah selari dengan Seksyen 14, Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (MBJB) 2016, di bawah Akta 171.

Sementara itu, Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat dalam satu kenyataan media sebelum ini berkata, polis menjalankan Op Dadu Khas sepanjang tahun dengan tumpuan kepada aktiviti judi dalam talian.

Selain pemeriksaan dan tangkapan, polis turut bertindak bersama Tenaga Nasional Berhad (TNB) bagi memotong bekalan elektrik premis yang dikesan terbabit kegiatan haram itu, selain memohon pihak berkuasa tempatan (PBT) membatalkan lesen perniagaan.

Untuk rekod, seramai 718 individu yang disyaki terbabit kegiatan judi dalam talian ditahan menerusi Op Dadu Khas di Johor sejak 1 Januari hingga September lalu.

Semua mereka yang berusia antara 19 hingga 60 tahun ditahan menerusi 652 serbuan terhadap premis perniagaan di seluruh negeri.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 November 2022 @ 7:00 AM