Datuk Johari Abdul
Datuk Johari Abdul
Noorazura Abdul Rahman


Alor Setar: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gurun, Datuk Johari Abdul dipilih sebagai Ketua Pembangkang DUN Kedah baharu selepas penyandangnya Datuk Phahrolrazi Mohd Zawawi dipecat daripada parti Parti Amanah Negara (Amanah) semalam.

Keputusan itu dibuat selepas semua Adun Pakatan Harapan (PH) Kedah sebulat suara memilih Johari memegang jawatan itu pada satu mesyuarat diadakan semasa sesi rehat Persidangan Dewan Undangan (DUN) hari ini.

Johari berkata, beliau akan menjalankan tugas itu sebaik mungkin selepas mendapat sokongan kesemua 10 Adun PH Kedah.

"Alhamdulillah, semua rakan dalam PH sebulat suara memberi peluang kepada saya sebagai Ketua Pembangkang DUN Kedah menggantikan Datuk Phahrolrazi.

"Insha-Allah, saya akan buat yang terbaik untuk memastikan perjalanan dewan seperti yang diharapkan, iaitu konstruktif.

"Kita akan pembangkang yang konstruktif dan terbaik untuk negeri kita," katanya ketika ditemui pemberita di Wisma Darul Aman, di sini, hari ini.

Selain itu, Johari turut mengucapkan terima kasih atas sumbangan diberikan Phahrolrazi sepanjang mengalas tanggungjawab sebagai Ketua Pembangkang DUN Kedah sebelum ini.

"Beliau memberi pandangan dan idea yang bernas dalam dewan. Jadi, kita akan menyambung hasrat beliau peranan sepatutnya," katanya.

Beliau turut mengesahkan kedudukannya dalam DUN Kedah akan bertukar esok selari dengan pemilihan sebagai Ketua Pembangkang DUN Kedah baharu.

Untuk rekod, Phahrolrazi dilantik sebagai Ketua Pembangkang DUN Kedah pada 2020.

Pelantikan Adun Alor Mengkudu itu sebelum ini mendapat sokongan kesemua ADUN PH Kedah.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Oktober 2022 @ 5:59 PM