PROSES baik pulih paip pecah di Jalan Lembah Persiaran Bandar Seri Alam masih dijalankan. FOTO Omar Ahmad
PROSES baik pulih paip pecah di Jalan Lembah Persiaran Bandar Seri Alam masih dijalankan. FOTO Omar Ahmad
Omar Ahmad

Pasir Gudang: Bekalan air bersih di kawasan terjejas di Zon Plentong, Zon Masai dan Tanjung Langsat dijangka pulih secara berperingkat bermula malam esok.

Pengarah Rangkaian Ranhill SAJ, Khairul Effendy Tusam berkata, pihaknya sedang berusaha sedaya upaya untuk membaikpulih paip yang pecah kerana situasi di lokasi yang sangat mencabar.

Katanya, menjangkakan paip berkenaan akan siap dibaiki pada petang esok dan bekalan air dijangka pulih menjelang malamnya secara berperingkat.

"Paling lambat sekali (kawasan) bekalan air akan pulih mungkin akan ambil masa 12 jam selepas paip siap dibaiki.

"Kejadian paip pecah berpunca daripada kerja yang dilakukan kontraktor Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) pada petang Khamis lalu ketika kerja proses pemasangan paip di sini yang secara tidak sengaja terlanggar paip sedia ada.

"Pelanggaran menyebabkan paip pecah dan kita terpaksa tutup bekalan ini kepada pelanggan. Sejurus insiden berlaku kita aktifkan Pelan Tindakan Kecemasan (ERP)," katanya ketika ditemui selepas lawatan Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi di Jalan Lembah Persiaran Bandar Seri Alam di sini, hari ini.

Khairul Effendy berkata, di bawah ERP pihaknya mengerah lori tangki untuk menghantar air kepada penduduk terjejas termasuk dari luar daerah dan dari negeri berdekatan serta agensi lain.

Katanya, selain menggunakan lori tangki bagi menghantar bantuan air, pihaknya juga membuat pengolahan sistem bekalan air bagi mengurangkan kawasan dan penduduk terjejas.

"Bila paip (pecah) ini ditutup yang terkesan ialah 100,000 akaun pengguna, tetapi bila kita buat pengolahan sistem bekalan air, kita dapat kurangkan kepada 60,000 akaun pengguna yang terjejas.

"Hari ini kita akan kurangkan lagi dengan membuat tambahan pengolahan sistem bekalan air, dan dijangka dapat mengurangkan sehingga 20,000 kawasan akaun pengguna yang terjejas.

"Selain itu, kita juga naikkan bekalan dari loji air Sungai Johor, naikkan bekalan dari sana supaya kita dapat kurangkan kesan kepada pelanggan yang terjejas," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Oktober 2022 @ 4:21 PM