Nazdy Harun

Dungun: Tanpa ilmu, minat dan wang ringgit mungkin sukar bergelar pengumpul keris tegar kerana setiap bilah yang diburu perlu diketahui keasliannya kerana wang yang dilaburkan juga tinggi untuk mendapatkan sebilah keris yang dihajati.

Pengumpul keris, Mat Azhar Mat Lazim, 59, dari Kampung Sura Tengah di sini, berkata, dia mula mengumpul keris sejak 18 tahun lalu selepas mendapati keadaan kewangannya semakin stabil.

Menurutnya, peringkat awal dia hanya membeli keris biasa yang harganya murah dan bermula daripada situ dia mula membuat kajian selain berguru dengan pakar pengumpul keris di dalam negara.

"Saya banyak belajar selok-belok keris dengan Cikgu Nordin dan Cikgu Mat Noor dari Kelantan, kedua mereka banyak membantu saya dalam memantapkan kemahiran dalam mengenali kesenian keris.

"Hingga kini, saya menyimpan kira-kira 110 bilah senjata antik antaranya 40 bilah keris, 20 lembing, 20 sundang dan tujuh badik yang mana koleksi berkenaan ada yang berharga RM40,000 sebilah dan dalam simpanan saya juga terdapat sebilah keris dianggarkan berusia 300 tahun.

"Antara keris dalam koleksi saya antaranya Keris Melela Terengganu, Bugis Terengganu, Alang Terengganu dan Sunan Terengganu," katanya yang juga Pengerusi Persatuan Seni Purba Terengganu.

Menurutnya yang juga bekas kakitangan Petronas Carigali berkata, kebanyakan koleksi keris dalam simpanannya sudah berusia lebih 100 tahun dan penjagaan juga perlu dititikberatkan bagi mengelak keris berkenaan mengalami kerosakan.

Mengulas mengenai keris yang mampu berdiri, Azhar berkata, asas pembuatan yang cukup sempurna oleh 'pandai besi' mampu mewujudkan keseimbangan pada sesebilah keris dan apabila ia didirikan maka bilah keris itu mampu tegak dan tidak jatuh.

Katanya, keris dalam koleksinya itu kebiasaannya akan dibawa ke pameran atau pertandingan di seluruh semenanjung.

Tambahnya, kebiasaannya keris dihasilkan dengan campuran beberapa jenis besi antaranya besi baja dan besi tawar, manakala hulu keris pula diperbuat daripada kayu kemuning, gading gajah dan gigi ikan paus.

"Hulu keris biasanya bermotifkan flora dan fauna, kebiasaannya dihasilkan oleh tukang sarung yang berkemahiran bagi memastikan sebilah keris kelihatan cantik dan berseni.

"Dalam koleksi saya banyak keris Terengganu, selain menyimpan saya juga melakukan kajian membabitkan keris-keris yang berada di negara ini," katanya.

Menurutnya, untuk mengenali sebilah keris itu asli dan sepadan dengan usianya beberapa kaedah juga dipraktikkan antaranya melihat di dalam pangkal keris, tanda-tanda penuaan semula jadi dan pangkal tidak sama tebal.

Katanya, dia juga ada menyimpan sebilah keris yang ditempah khas dari tanah seberang yang mana keris berkenaan ditempa mengikut seperti yang dikehendakinya.

"Saya akui ramai yang menawarkan untuk membeli koleksi keris yang disimpan ini namun bagi keris yang sukar diperolehi saya tidak akan menjualnya sama sekali.

"Hanya keris yang dianggap biasa dan kurang 'sayang' baru saya menjualnya namun biasanya rakan-rakan yang memujuk untuk membeli sebelum saya membuat keputusan hendak jual atau tidak," katanya.

Menurutnya, untuk mendapatkan sebilah keris yang dihajati bukannya mudah, oleh itu hendak menjualnya kembali juga tidak semudah seperti yang ditawarkan.

Azhar berkata, sejak kebelakangan ini golongan muda dilihat semakin ramai yang berminat dalam hobi pengumpulan keris dan ia petanda positif bagi mengetengahkan lagi seni keris dalam kalangan masyarakat.

Mat Azhar Mat Lazim, 59, menunjukkan antara koleksi keris yang disimpannya. FOTO NAZDY HARUN.
Mat Azhar Mat Lazim, 59, menunjukkan antara koleksi keris yang disimpannya. FOTO NAZDY HARUN.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Oktober 2022 @ 3:03 PM