MOHAMAD Fazli melawat tapak pembaikpulihan paip di Persiaran, Bandar Seri Alam. FOTO Ihsan Exco
MOHAMAD Fazli melawat tapak pembaikpulihan paip di Persiaran, Bandar Seri Alam. FOTO Ihsan Exco
Mary Victoria Dass


Johor Bahru: Sebanyak 43,000 akaun pengguna masih terjejas akibat gangguan bekalan air akibat kerosakan paip di Persiaran, Bandar Seri Alam di Masai di sini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Johor, Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata, bilangan terjejas berkurangan berbanding pada awalnya membabitkan kira-kira 100,000 akaun.

Beliau berkata, bagi memantau permasalahan berkenaan, dia meninjau kerja-kerja pembaikan kerosakan paip air berkenaan hari ini.

Menurutnya, bilangan akaun pengguna yang terjejas ini berkurang selepas beberapa langkah 'diversion' diambil oleh pihak Ranhill SAJ.

"Gangguan bekalan air ini berpunca akibat kerosakan serentak pada dua batang paip masing-masing bersaiz 1000mm dan 1200mm sedalam lebih kurang lapan meter.

"Kerosakan ini berlaku semasa kerja-kerja pemasangan paip baru dijalankan di kawasan yang sama.

"Pihak Ranhill SAJ melakukan kerja-kerja mengenalpasti lokasi sebenar kerosakan dan proses ini mengambil masa akibat daripada faktor tanah runtuh," katanya.

Mohamad Fazli berkata, operasi pembaikan sedang giat dilakukan oleh pihak Ranhill SAJ dengan selama 24 jam sehari sejak tiga hari lalu.

"Pihak Ranhill SAJ mengagihkan bekalan air bersih ke kawasan yang terjejas dengan 17 lori tangki dan akan dibantu lima lori tangki pihak swasta, 2 lori tangki pihak bomba dan sekurang-kurangnya 14 lori tangki dari negeri jiran.

"Terdapat juga pihak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang sudi membantu memberikan khidmat penghantaran air percuma kepada pengguna yang terjejas.

"Bilangan lori tangki akan ditambah dari masa ke semasa sepanjang kerja-kerja pembaikan dilakukan," katanya.

Mohamad Fazli berkata, pihaknya menjangka keadaan akan pulih seperti sedia kala dalam tempoh terdekat.

"Keadaan akan pulih dalam sedikit masa lagi sebaik sahaja kerja-kerja baik pulih selesai dengan mengambil kira jenis kerosakan dan kaedah pembaikpulihan terbaik.

"Diharapkan seluruh pengguna yang terjejas dapat bersabar dan mendoakan kerja-kerja pembaikan ini berjalan dengan lancar serta dapat disiapkan segera," katanya ketika melawat tapak pembaikpulihan paip di Persiaran, Bandar Seri Alam.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Oktober 2022 @ 10:14 PM