NUR Izzati (kiri) bersama ibunya Sarimah Ahmad masih bersedih dengan kejadian menimpa bapanya. FOTO Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi
NUR Izzati (kiri) bersama ibunya Sarimah Ahmad masih bersedih dengan kejadian menimpa bapanya. FOTO Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi


Parit Buntar: "Sejak dua minggu lalu, arwah sering bercakap mengenai kematian dan hari pembalasan. Pada masa sama dia sering menasihatkan saya supaya tidak leka dan jangan lengahkan waktu solat," kata Isma Alif Ishak, 35, iaitu rakan karib kepada mangsa bunuh, Mahadzeb Salleh, 47.

Katanya, dia tidak menyangka kata-kata dan nasihat mangsa kepadanya adalah petanda ajal sesuatu akan berlaku kepada rakannya itu.

"Dia sering cerita masalah yang berlaku terhadapnya dengan suspek dan perkara itu sebenarnya berlarutan sejak beberapa tahun lalu.

"Sebagai kawan dan menganggapnya sebagai abang kandung, saya nasihatkan supaya bersabar dan jangan bertindak di luar batasan dan saya tidak sangka kejadian ini berakhir dengan kematiannya, "katanya ditemui di kediaman mangsa di Kampung Parit Tok Ngah, Tanjung Piandang, di sini petang tadi.

Menurut Isma lagi arwah seorang yang rajin melakukan kerja-kerja kampung seperti tukang rumah dan bersawah.

"Biarpun begitu dia seorang yang sangat baik dan taat perintah agama. Saya tak sangka segala tegurannya termasuk jenaka soal kematian selama hampir dua minggu ini tanda dia akan pergi, "katanya.

Sementara itu anak bongsu mangsa, Nur Izzati Mahadzeb, 15, berkata dia dan keluarga berharap agar pihak berkuasa dapat memberi hukuman setimpal pada suspek.

Katanya dia dan keluarga amat berat untuk menerima kenyataan namun reda dengan kejadian yang berlaku.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Oktober 2022 @ 10:03 PM