Mohamad Alamin
Mohamad Alamin
Izwan Abdullah


Kota Kinabalu: Timbalan Menteri Pendidikan II, Datuk Mohamad Alamin yang diumumkan sebagai calon Barisan Nasional (BN) kerusi Parlimen Kimanis pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), bulan depan bakal bertembung sekali lagi dengan lawan yang sama pada PRU lalu.

Mohamad yang menyandang kerusi berkenaan selepas memenanginya pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis, Januari 2020, bakal berdepan Ketua Bahagian Parti Warisan (Warisan) Kimanis, Dr Daud Yusof.

Daud yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bongawan diumumkan secara rasmi sebagai calon Warisan pada PRU-15 bagi kerusi Parlimen Kimanis oleh Presidennya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal ketika jelajah parti itu di Kimanis, baru-baru ini.

Mohamad dan Daud pernah bertembung pada PRU-14, Mei 2018 di kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Bongawan, iaitu satu daripada dua kerusi Dun dalam Parlimen Kimanis.

Satu lagi ialah Dun Membakut yang diwakili Gabungan Rakyat Sabah - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (GRS-Bersatu).

Bagaimanapun, ketika itu Mohamad yang juga Ketua Umno Kimanis tewas di tangan Daud dengan majoriti 795 undi, setelah hanya memperolehi 6,117 undi berbanding Daud yang memperolehi 6,912 undi.

Daud sekali lagi mempertahankan kerusinya pada Pilihan Raya Negeri Ke-16 (PRN-16), September 2020 dengan majoriti 1,802 undi setelah menewaskan calon BN dan bekas Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman yang bertanding atas tiket Parti Cinta Sabah (PCS).

Pada PRU-15, Mohamad mempertaruhkan pencapaiannya selaku penyandang kerusi Parlimen Kimanis selama kira-kira dua tahun, termasuk sebagai Timbalan Menteri Pendidikan sejak tahun lalu dalam melaksanakan perubahan di kawasan berkenaan.

Beliau memenangi PRK Kimanis pada Januari 2020 dengan majoriti lebih 2,000 undi menewaskan calon Warisan, Datuk Karim Bujang.

PRK Kimanis diadakan selepas Mahkamah Pilihan Raya pada 2019 memutuskan kemenangan Anifah yang memenangi kerusi berkenaan atas tiket BN pada PRU-14, tidak sah dan terbatal.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Oktober 2022 @ 9:33 AM