Sebahagian wajah anak Jahidah yang digelar Baby J. FOTO ihsan keluarga
Sebahagian wajah anak Jahidah yang digelar Baby J. FOTO ihsan keluarga
Ahmad Hasbi


Seremban: Belum puas keluarga menatap bayi kepada Jahidah Nordin, 43, yang dibenarkan keluar dari hospital semalam, anak kecil itu terpaksa dimasukkan semula ke hospital, hari ini selepas bacaan penyakit kuning atau jaundis neonatal yang dialaminya agak tinggi.

Fauziah Nordin, 40, adik kepada Jahidah berkata, bayi yang digelar Baby J itu perlu dimasukkan semula ke wad Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) selepas dirujuk Klinik Kesihatan Sendayan.

"Baru semalam ambil Baby J dekat wad.. hari ni kena hantar wad balik sebab kuning tinggi. Dia mahu dekat dengan umi (ibu) dia kot," katanya di Facebook miliknya, hari ini.

Menerusi perkongsian sama, Fauziah turut berkongsi sebahagian wajah Baby J selain mengucapkan terima kasih kepada semua yang sentiasa mendoakan kakaknya Jahidah dan bayi berkenaan.

"Alhamdulillh akhirnya Baby J depan mata.. anak yang tak disangka akan hidup sehingga hari ini.. Terima kasih mendoakan..," katanya.

Untuk rekod, bayi dengan berat dua kilogram itu dibenarkan pulang semalam manakala Jahidah masih di bawah pemantauan doktor.

Jahidah wanita yang menjadi mangsa dera oleh suaminya selamat melahirkan bayi dalam kandungan melalui kaedah pembedahan pada malam Selasa lalu akibat koma selepas kejadian berkenaan.

Dia mulanya dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru sebelum dipindahkan ke HTJ Seremban atas permintaan keluarga.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Disember 2021 @ 3:20 PM