GAMBAR fail, sekadar hiasan. FOTO NSTP
GAMBAR fail, sekadar hiasan. FOTO NSTP
Hafidzul Hilmi Mohd Noor dan Izzati Zaidi


Kuala Lumpur: Pengguna sekitar ibu kota gusar dengan kekurangan telur ayam di pasar harian dan kedai runcit sejak minggu lalu.

Difahamkan, ada pengguna, terutama dalam kalangan peniaga terpaksa datang seawal pagi ke pasar harian dan kedai runcit untuk mendapatkan bekalan telur ayam, malah ada yang keluar daerah berikutan bekalan terhad.

Bagaimanapun tinjauan Harian Metro mendapati bekalan minyak masak bersubsidi dilihat stabil dan peniaga juga didapati mengikut peraturan apabila mengehadkan pembelian minyak masak peket.

Peniaga, Nur Yuni Ilyas, 52, berkata, dia sukar memperoleh bekalan telur ayam sehingga menjejaskan perniagaannya.

"Saya menjual nasi lemak, telur ayam adalah antara bahan utama namun kini ianya sukar didapati kerana bekalan kurang.

"Bekalan dilihat kurang apabila tiba musim perayaan, saya terpaksa mencari bekalan di luar daerah dan pasar raya besar," katanya ketika ditemui, hari ini.

Sementara itu. peniaga kuih, Roswita Ayub, 30, mengakui turut sukar mendapatkan bekalan telur.

"Biasa saya beli telur sekitar sini sahaja, namun sejak akhir ini, memang sukar untuk dapatkan telur ayam, kadang-kadang saya perlu membuat stok sendiri.

"Saya berharap keadaan ini tidak berterusan hingga menyukarkan pengguna. Dari segi harga pula ia tidak banyak berubah walaupun bekalan telur berkurangan," katanya.

Dalam pada itu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) ketika dihubungi berkata, pemantauan berterusan berhubung bekalan telur sering dilakukan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Oktober 2022 @ 3:01 PM