Oleh Rafiqah Dahali


Kota Kinabalu: Kerajaan negeri mengumumkan geran peruntukan khas RM100,000 setiap tahun kepada Persatuan Pesara Kerajaan Sabah bagi memudahkan pelaksanaan program dan aktiviti persatuan terbabit.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, ia adalah antara empat inisiatif baharu untuk pesara sebagai bukti keprihatinan kerajaan terhadap kesejahteraan mereka.

Tiga lagi inisiatif lain, termasuk pertama tambahan Bantuan Khas Kewangan kepada pesara RM150 yang akan dicarumkan dalam akaun i-Saraan, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

"Inisiatif kedua, kerajaan negeri akan meluluskan peningkatan jumlah maksimum Gantian Cuti Rehat (GCR) daripada 160 hari kepada 180 hari mulai tahun hadapan,

selaras dengan pengumuman Perdana Menteri Malaysia sempena Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam Ke-18 (MAPPA XVIII).

"Inisiatif ketiga ialah penyediaan pejabat untuk pesara di beberapa daerah yang akan dikenalpasti," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Jasamu Dikenang Pesara Perkhidmatan Awam Negeri Sabah Tahun 2022 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Hajiji berkata, kerajaan telah

menambah baik kemudahan rawatan perubatan yang turut dipanjangkan untuk ibu bapa pesara berpencen dan pesara skim KWSP melalui surat edaran bertarikh 15 Februari 2021.

Menurutnya, pengiraan faedah persaraan untuk pegawai yang dibersarakan atas sebab

kesihatan juga telah ditambah baik dengan menambah tempoh perkhidmatan faedah persaraan secara isyarat untuk tempoh perkhidmatan yang kurang daripada 359 bulan, melalui Pekeliling Perkhidmatan Negeri Sabah Bil. 5/2021.

Katanya, kerajaan juga telah meluluskan peningkatan jumlah maksimum Gantian Cuti

Rehat (GCR) daripada 150 hari kepada 160 hari, dan kebenaran penebusan awal GCR sebanyak 80 hari mulai Januari 2022.

"Peningkatan jumlah maksimum ini akan memberi manfaat kepada penjawat awam negeri yang bakal bersara. Kenaikan kadar maksimum GCR ini, membolehkan cuti

tersebut disimpan bagi tujuan award wang tunai yang akan meningkatkan jumlah wang

tunai diterima semasa bersara kelak," katanya.

Hajiji berkata, usaha kerajaan

telah menunjukkan perkembangan positif dan menghasilkan pelbagai pencapaian signifikan dengan mengambil contoh bagi tahun 2021, Sabah telah melakar sejarah baharu dengan kutipan hasil tertinggi sejak merdeka sebanyak RM5.449 bilion.

"Kerajaan juga sedang dalam peringkat akhir

memuktamadkan perundingan dengan Kerajaan Persekutuan berhubung kajian semula pemberian khas kepada Negeri Sabah di bawah Perkara 112(D) Perlembagaan Persekutuan.

"Kita yakin rundingan ini akan dapat memberikan jumlah pertambahan

pemberian khas pada kadar yang signifikan sekali gus akan membantu meningkatkan hasil negeri.

"Kita juga mensasarkan pertambahan hasil negeri dengan penerokaan sumber baharu, inisiatif pelaburan dan pelbagai aktiviti ekonomi lain melalui pembayaran seperti cukai, premium tanah dan royalti.

"Seperti yang saya umumkan pada 11 Oktober lalu, bergantung kepada pergerakan harga minyak, Sabah boleh menjangkakan untuk mengutip royalti dan bayaran SST daripada sektor minyak dan gas dalam lingkungan RM2.45 bilion setahun secara berterusan," katanya.

FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Oktober 2022 @ 1:53 PM