OPERASI mencari dan menyelamat (SAR) mangsa dihentikan sebaik mangsa ditemui penduduk kampung. FOTO ihsan JBPM
OPERASI mencari dan menyelamat (SAR) mangsa dihentikan sebaik mangsa ditemui penduduk kampung. FOTO ihsan JBPM
Recqueal Raimi


Tuaran: Lelaki berusia 25 tahun yang dikhuatiri hilang di kawasan hutan berhampiran Kampung Kitapol, Kiulu sejak Selasa lalu, ditemukan selamat, hari ini.

Ireneus@Hendry Anthony, 25, ditemui penduduk kampung di sebuah pondok kebun getah kira-kira 10 kilometer dari Kampung Kitapol.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Daerah Tuaran, Abdul Qawie Abdul Gapar berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) memasuki hari ketiga ditamatkan kira-kira jam 12 tengah hari sebaik dimaklumkan penemuan terbabit.

"Bagaimanapun, mangsa tidak mahu berdepan pasukan penyelamat atas sebab peribadi dan hanya memaklumkan dirinya dalam keadaan sihat.

"Ahli keluarga mangsa juga memohon pasukan penyelamat agar tidak meneruskan operasi dan meminta agar kejadian itu diuruskan oleh ahli keluarga," katanya.

Abdul Qawie berkata, mangsa yang bermalam di pondok berkenaan mendapatkan sumber makanan dari tanaman sayuran berhampirannya.

Menurut sumber penduduk, mangsa yang kehilangan bapanya beberapa tahun lalu sebelum ibunya berkahwin lelaki lain, dikatakan merajuk dengan saudaranya di Kampung Kitapol sebelum mengambil keputusan untuk pulang ke rumah datuknya di Kampung Sinansag.

Mangsa yang berjalan melalui laluan kebun getah dan hutan sejauh 14 kilometer untuk tiba ke lokasi bagaimanapun, membatalkan hasrat meneruskan perjalanannya dan bermalam di sebuah pondok.

Datuk mangsa yang bimbang kemudiannya menghubungi keluarga di Kampung Kitapol memaklumkan mangsa belum tiba pada waktu malam.

Kira-kira jam 3 petang, khamis lalu, pasukan bomba menerima panggilan kecemasan berhubung mangsa dikhuatiri hilang dan seramai sepuluh anggota selain Unit Dron,Unit Anjing Pengesan (K9) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) bergegas ke lokasi kejadian.

Difahamkan, mangsa dikhuatiri hilang sejak Selasa lalu namun pihak bomba hanya dihubungi selepas tiga hari kemudian apabila usaha penduduk kampung mencari mangsa sehingga Khamis lalu, gagal.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Oktober 2022 @ 8:36 PM