Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Kerajaan tidak tergugat walaupun 12 anggota Kabinet daripada Perikatan Nasional (PN) menyerahkan surat kepada Yang di-Pertuan Agong bagi menyatakan pendirian tidak bersetuju Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) diadakan tahun ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, tindakan 12 menteri daripada Bersatu dan Pas itu tidak menjejaskan keutuhan kerajaan kerana sokongan kepada seseorang Perdana Menteri adalah tertakluk pada majoriti sokongan Ahli Dewan Rakyat dan bukan anggota Kabinet.

Menurutnya, tidak timbul isu keabsahaan kerajaan tergugat disebabkan surat berkenaan, sebaliknya perkara itu hanya dibangkitkan pihak yang tidak memahami undang-undang hingga menimbulkan kekeliruan.

"Dalam Perlembagaan, hilang sokongan adalah apabila ahli Dewan Rakyat menarik diri (daripada menyokong Perdana Menteri). Ini kena faham. Ramai yang tak faham Perlembagaan dan bila bercakap tak ikut Perlembagaan, itu yang orang jadi keliru.

"Sokongan itu adalah sokongan ahli Dewan Rakyat. Kalau mereka tarik diri dan kurang daripada 112, majoriti mudah, kerajaan tumbang seperti yang berlaku pada Tan Sri Muhyiddin Yassin," katanya kepada pemberita selepas Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Ismail Sabri berkata, ketika itu, seluruh kabinet terpaksa meletakkan jawatan tapi jika sokongan pada Ahli Dewan masih kekal maka tiada isu menyatakan kerajaan tumbang.

"Saya masih mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen, dan sebarang bantahan atau perletakan jawatan daripada mana-mana menteri tidak akan menjejaskan fungsi Kabinet atau kerajaan.

"Jika menteri Kabinet letak jawatan sekali pun, Kabinet tetap berfungsi, kerajaan masih berfungsi. Kita lantik menteri baharu ganti menteri yang letak jawatan," katanya.

Beliau berkata, setakat ini tiada menteri yang meletak jawatan sebaliknya mereka hanya menghantar surat kepada Yang di-Pertuan Agong supaya Parlimen tidak dibubarkan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Oktober 2022 @ 12:59 PM