Mohd Afiq Salim
Mohd Afiq Salim
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Tindakan kerajaan melaksanakan pembaharuan komprehensif bagi menangani ketirisan subsidi barangan keperluan terutama petrol, gas petroleum cecair (LPG) dan minyak masak disifatkan sebagai usaha yang baik.

Presiden Persatuan Pengguna Melayu Malaysia (PPMM) Mohd Afiq Salim berkata, pihaknya menyokong usaha kerajaan itu, namun perlu bersasar.

Menurutnya, ini bagi mengelak pihak tertentu seperti warga asing, penyeludup dan kumpulan T20 cuba mengambil kesempatan.

"Apa kita bimbangkan adalah kerugian kepada kerajaan terlalu tinggi kerana aktiviti penyeludupan serta penggunaan barangan subsidi itu.

"Berikutan itu, adalah lebih baik penyelesaian yang diumumkan kerajaan lebih bersasar dan tidak terlalu umum," katanya.

Dalam pembentangan Bajet 2023 hari ini, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, kerajaan juga akan menangani ketirisan hasil daripada aktiviti penyeludupan rokok dan minuman keras melalui Multi-Agency Task Force.

Katanya, antara langkah diambil adalah memperketat kawalan di tempat pendaratan termasuk jeti, mengehadkan aktiviti transhipment produk di pelabuhan tertentu, menjadikan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (KIK) Bukit Kayu Hitam sebagai pusat laluan keluar bagi wilayah Utara serta menyediakan ganjaran khas.

"Ini bagi memastikan petrol bersubsidi dimanfaatkan rakyat, dan bukan warganegara. Selain itu, ia bagi memastikan diesel bersubsidi dinikmati pemandu kenderaan dan tidak terseludup ke premis perniagaan atau ke luar negara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Oktober 2022 @ 7:31 PM