IBU pejabat WHO di Geneva. FOTO AFP
IBU pejabat WHO di Geneva. FOTO AFP
AFP

Geneva: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengeluarkan peringatan pada Rabu berhubung cecair ubat batuk dan demam selesema dibuat Maiden Pharmaceuticals di India, dan memberi amaran ia mungkin mempunyai kaitan dengan kematian 66 kanak-kanak di Gambia.

Agensi kesihatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu juga mengingatkan bahawa ubat yang tercemar berkenaan mungkin sudah disedarkan di luar negara Afrika Barat itu, sambil menambah negara lain mungkin terdedah kepada ancaman sama.

Ketua WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus memberitahu pemberita bahawa empat cecair ubat batuk dan demam selesema berkenaan "mempunyai potensi kaitan dengan kecederaan buah pinggang akut dan 66 kematian kanak-kanak".

Tedros berkata, WHO sudah "menjalankan siasatan lanjut terhadap syarikat terbabit dan pihak berkuasa kawal selia di India".

Berdasarkan amaran produk perubatan dikeluarkan WHO pada Rabu, empat produk terbabit adalah Promethazine Oral Solution, Kofexmalin Baby Cough Syrup, Makoff Baby Cough Syrup dan Magrip N Cold Syrup.

Pada Khamis, pihak berkuasa Gambia sudah mengambil sampel cecair parasetamol dan promethazine dari isi rumah luar bandar dari dua wilayah.

Siasatan kementerian kesihatan Gambia, bermula Julai dan masih berjalan, memetik bahawa bakteria E coli mungkin sebagai punca kegagalan buah pinggang akut itu.

"Dapatan awal daripada siasatan yang masih berjalan menunjukkan bahawa ada kemungkinan cecair parasetamol dan promethazine yang menyebabkan kegagalan buah pinggang akut dalam kes ini," kata ahli nefrologi yang mengetuai siasatan kementerian, Abubacarr Jagne, kepada AFP.

Pihak berkuasa kesihatan pada 23 September mengarahkan semua ubat yang mengandungi cecair parasetamol dan promethazine, supaya ditarik semula.

Gambia mengalami banjir terburuk dalam tempoh beberapa tahun pada Julai, menyebabkan limpahan dari pembentung dan tandas.

"Sejak Julai 2022, terdapat peningkatan kes penyakit buah pinggang serius dengan kadar kematian yang tinggi dalam kalangan kanak-kanak susulan penyakit cirit-birit," kata kementerian dalam kenyataan pada September.

Kenyataan itu berkata, bakteria E coli ditemukan dalam najis kanak-kanak berkenan yang turut didapati mengambil cecair ubat batuk parasetamol.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Oktober 2022 @ 9:50 AM