ANTARA pelajar yang cedera dalam kemalangan. FOTO Ihsan Polis
ANTARA pelajar yang cedera dalam kemalangan. FOTO Ihsan Polis
Nurul Hidayah Bahaudin


Sepang: Seramai 13 individu cedera dalam kemalangan membabitkan sebuah van yang membawa 12 pelajar sekolah di Kilometer 6.7 Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE) menghala ke Plaza Tol Ayer Hitam, dekat sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Sepang Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kemalangan itu kira-kira 2 petang tadi.

"Hasil siasatan awal dilakukan mendapati kemalangan itu berlaku apabila van berkenaan membawa 12 penumpang yang dipandu seorang lelaki tempatan berusia 35 tahun dari arah Kajang menghala ke Plaza Tol Ayer Hitam.

"Kenderaan itu dipercayai hilang kawalan lalu terbabas sendiri. Pemandu itu bersama 12 pelajar sekolah berusia lapan hingga 16 tahun dibawa ke Hospital Serdang untuk menerima rawatan.

"Daripada 12 pelajar berkenaan, enam pelajar berusia sembilan hingga 16 tahun menerima rawatan sebagai pesakit luar dan dibenarkan pulang," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Wan Kamarul berkata, pemandu van berkenaan dilaporkan patah kaki kiri, manakala dua lagi murid perempuan masing-masing berusia lapan tahun menerima rawatan di zon merah Unit Kecemasan hospital berkenaan.

"Empat lagi murid berusia lapan hingga 12 tahun pula dirawat di zon kuning Unit Kecemasan hospital terbabit.

"Kes itu disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Oktober 2022 @ 11:14 PM