LAPORAN terdahulu Harian Metro
LAPORAN terdahulu Harian Metro
Hazira Ahmad Zaidi


Kuala Krai: "Baju yang tersangkut pada pokok di tebing sungai memberi petunjuk anak saya lemas," kata ibu mangsa, Norikah Ibrahim, 30.

Norikah Ibrahim adalah ibu kepada Mohd Firdaus Yusof, 2, yang dijumpai lemas dipercayai tergelincir di Air Terjun Lata Rek petang semalam.

Menurut Norikah, dua hari lalu mereka sekeluarga pulang ke Kuala Krai untuk melawat saudara terdekat yang sakit dan sepatutnya pulang ke Thailand pada hari ini, namun tidak menyangka anak bongsunya ditemukan lemas.

Menceritakan semula kejadian yang berlaku, Norikah berkata, pada petang semalam, suaminya berada bersama arwah anaknya sebelum ditemukan lemas.

"Sebelum itu suami saya memberi ubat kepada saudaranya yang sakit, namun sebaik suami menoleh ke belakang, anak kami sudah tiada dan dikhuatiri terjatuh ke dalam sungai.

"Bagaimanapun, baju yang dipegang sebelum ini ada tersangkut pada pokok dan kami semua tidak menyangka kejadian berlaku terlalu pantas," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Media semalam melaporkan, jasad kanak-kanak lelaki berusia dua tahun yang dipercayai tergelincir di Air Terjun Lata Rek, ditemukan lemas petang semalam pada jarak 1.5 kilometer dari tempat mangsa dilaporkan terjatuh, pada 5 petang

Norikah berkata, arwah anak bongsu daripada dua beradik itu sangat aktif dan reda dengan pengakhiran hidup anaknya itu.

"Meskipun sedih kerana kehilangan anak bongsu, namun saya bersyukur jasad Mohd Firdaus ditemukan beberapa jam selepas dia dikhuatiri terjatuh.

"Sepanjang misi pencarian dijalankan, saya dan suami tidak putus-putus berdoa semoga anak kami ditemukan dan walaupun sukar menerima hakikat Mohd Firdaus sudah tiada, kami perlu kuat dan menjadikan kejadian ini sebagai pengajaran untuk lebih berhati-hati selepas ini.

"Kami sekeluarga reda dan arwah juga sudah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Akar, Lata Rek pada 10 pagi tadi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Oktober 2022 @ 4:38 PM