Dr Noor Hisham Abdullah
Dr Noor Hisham Abdullah
Noor Hidayah Tanzizi


Kuala Lumpur: Seramai 370 penduduk Pulau Tioman, Pahang berusia 40 tahun dan ke atas menjalani saringan kesihatan melalui Inisiatif Saringan Kesihatan Kebangsaan (NHSI) dan Saringan Kesihatan PeKa B40 setakat semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah pada kenyataan hari ini berkata, program itu mensasarkan 559 penduduk pulau berkenaan untuk menjalani saringan kesihatan sama ada melalui NHSI atau Skim PeKa B40 bagi mereka yang layak.

Menurutnya, program itu dilaksanakan di beberapa lokaliti termasuk Kampung Tekek, Kampung Juara, Kampung Salang, Kampung Genting, Kampung Mukut dan Kampung Paya.

Katanya, ia dilaksanakan melalui pasukan kesihatan statik dan jangkau luar.

"Sehingga jam 11 malam semalam, 370 individu atau 66.2 peratus daripada sasaran program berjaya disaring. Saringan turut dilakukan ke atas 219 individu berusia kurang daripada 40 tahun yang tampil secara sukarela di pusat saringan berkenaan.

"Berdasarkan keputusan lengkap saringan, pemeriksaan kesihatan yang lebih menyeluruh serta rujukan lanjut kepada pakar bidang perubatan yang berkaitan akan dilakukan," katanya.

Program itu diterajui oleh Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP) dan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Rompin.

Ia dianjurkan selama tiga hari bermula 28 hingga hari ini.

Manakala ProtectHealth Corporation Sdn Bhd mengetuai koordinasi saringan PeKa B40 dan dibantu Kerajaan Negeri Pahang melalui Lembaga Pembangunan Tioman (TDA) dan pelbagai agensi lain.

Noor Hisham berkata, NHSI adalah satu daripada inisiatif ANMS di bawah Teras 3 iaitu Kawalan Kesihatan Kendiri.

"NHSI bertujuan memperkasakan kawalan kesihatan kendiri dalam memastikan individu, keluarga dan komuniti mempunyai keupayaan, kemampuan serta kemahiran dalam menangani ancaman penyakit tidak berjangkit," katanya.

Menurutnya, selepas ini, program NHSI di bawah Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) akan diteruskan di Klinik Kesihatan Tekek, Pulau Tioman.

"Selain itu, aktiviti jangkau luar turut akan dijalankan dari semasa ke semasa bagi pesakit yang terlantar di rumah dan warga emas atau OKU (orang kurang upaya) yang tiada kemampuan fizikal atau mental untuk hadir ke pusat saringan," katanya.

Beliau berkata, pelaksanaan program itu diharapkan dapat membantu penduduk Pulau Tioman untuk mengetahui status kesihatan kendiri dan selanjutnya membolehkan mereka mendapatkan rawatan awal sekiranya perlu.

"Di samping itu, ia memberi peluang kepada penduduk setempat yang layak untuk Skim PeKa B40 mendapat manfaat daripada skim tersebut sekali gus mencegah komplikasi penyakit tidak berjangkit," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 September 2022 @ 12:50 PM